32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Wujudkan pengeluaran makanan ternakan dalam negara – CAP

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PERSATUAN Pengguna Pengguna Pulau Pinang (CAP) berpendapat kerajaan perlu melihat secara serius keperluan mewujudkan pengeluaran makanan ternakan di dalam negara bagi mengekang isu input makanan haiwan dari luar negara yang mahal.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, ini kerana dengan membenarkan pihak pasar raya mega mengimport ayam bulat dari negara luar dengan syarat pematuhan terutama dari segi halal dan kesegaran serta kebersihan adalah langkah jangka pendek.

“Namun pendekatan yang terbaik adalah untuk memperkukuhkan pengeluaran dalam negara secara lestari.

“Bagaimanapun, kami bersetuju dengan tindakan kerajaan mengarahkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MYCC), sebuah agensi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk melaksanakan kajian dan siasatan berterusan agar tidak wujud kartel harga serta manipulasi orang tengah dalam industri pengeluaran dan bekalan ayam.

“Pihak berkuasa perlu menyegerakan penyelidikan berkenaan alternatif makanan ayam supaya negara tidak diancam dengan harga jagung, soya dan ubat-ubatan yang sekarang ini 100 peratus diimport dari negara luar,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Di samping itu, katanya, CAP juga menyarankan agar pihak kerajaan benar-benar menilai kembali penggunaan tanah dengan memberi penekanan kepada soal pengeluaran makanan asas.

“Pergantungan kepada import makanan dari luar negara harus diatasi dengan segera,” katanya.

Sementara itu, Mohideen berkata, CAP menyambut baik tindakan kerajaan menstabilkan harga barangan dalam Mesyuarat Majlis Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) pada 31 Januari lalu.

Kata beliau, ini termasuk keputusan menetapkan harga runcit ayam pada RM8.90 di Semenanjung walaupun kerajaan terpaksa menyediakan subsidi bagi menampung harga tersebut kepada pengguna.

“Oleh yang demikian kami berpandangan positif terhadap keputusan kerajaan mengekalkan harga telur gred A, B dan C pada harga Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) terkini.

“Kami berpendapat kerajaan perlu memantau dan menerima aduan dari pengguna jika didapati peniaga menaikkan harga.

“Manakala pengguna perlu menggunakan saluran yang betul apabila mendedahkan terdapat peniaga yang cuba meraih keuntungan berlebihan.

“Kami menyokong ketegasan dan campur tangan kerajaan walaupun pihak penternak meminta harga ayam di ladang dinaikkan yang pastinya mempengaruhi harga pasaran sehingga mencecah melebihi RM10 sekilogram,” katanya.-Edisi 9

     



Terkini

PRK Kuala Kubu Baharu: Calon PH/BN wakili kerajaan perpaduan

CALON Pakatan Harapan/Barisan Nasional (PH/BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu akan mewakili...

Lagi Artikel Berkaitan