26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

FELCRA untung hampir 200 peratus kepada RM475.2 juta

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

FELCRA Berhad mengisytiharkan Keuntungan Boleh Agih Akhir Projek Penyatuan dan Pemulihan (P&P) tahun 2021 kepada pesertanya berjumlah RM272.75 juta.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, jumlah itu menjadikan keseluruhan keuntungan Boleh Agih FELCRA bagi tahun 2021 berjumlah RM475.2 juta.

Menurut beliau, ia merupakan peningkatan 199 peratus atau RM316.12 juta berbanding keuntungan tahun 2020 berjumlah RM159.086 juta.

“Walaupun FELCRA antara syarikat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dari segi kekurangan tenaga kerja dan tahap pengeluaran hasil, cabaran itu tidak menghalang bagi FELCRA mempertingkatkan usaha untuk mengoptimumkan pulangan dividen kepada para pesertanya.

“Antaranya melalui penambahbaikan proses aliran kerja, peningkatan penggunaan mekanisasi serta pengenalan automasi secara berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pengisytiharan dan Penyerahan Keuntungan Boleh Agih Akhir Projek Peserta FELCRA Berhad 2021 di Dewan HASIL di Kluang, Johor, hari ini.

Mahdzir Khalid menyampaikan agihan keuntungan boleh agih tahun 2021 kepada seorang wakil peserta FELCRA di Kluang, Johor hari ini.

Turut hadir, Pengerusi FELCRA Berhad, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FELCRA Berhad, Datuk Mat Roni Zakaria.

Jelas Mahdzir, keuntungan itu memberi manfaat secara langsung kepada 72,509 peserta FELCRA di seluruh negara.

“Bagi Keuntungan Boleh Agih Akhir 2021, fasa pertama agihannya akan dibuat pada 25 Februari ini berjumlah RM136.37 juta kepada peserta yang layak iaitu 2 bulan lebih awal dari kebiasaan.

“Manakala agihan fasa kedua berjumlah RM136.37 juta lagi akan disalurkan pada bulan April depan,” katanya.

FELCRA sebelum ini mengumumkan Keuntungan Boleh Agih bagi Agihan Interim 1 bulan Ogos 2021 berjumlah RM76.22 juta.

Manakala bagi Agihan Interim 2 bulan November 2021 berjumlah RM126.23 juta.

“Di peringkat KPLB, kita hendak pastikan agensi seperti FELCRA Berhad memberi manfaat kepada peserta dan masyarakat setempat terutamanya dari segi peningkatan pendapatan mereka menerusi projek pembangunan berimpak tinggi yang dilaksanakan di luar bandar.

Bagi negeri Johor jelas Mahdzir, sejumlah RM42.5 juta keuntungan Boleh Agih Projek Peserta FELCRA bakal dinikmati oleh 8,853 orang pesertanya.

“Saya tegaskan kepada pengurusan FELCRA untuk memastikan pulangan yang baik dapat disalurkan kepada para peserta di projek-projek yang berhasil untung.

“Saya juga mahu FELCRA mengurangkan tahap kebergantungan kepada tenaga manual bagi tempoh jangka panjang dalam operasi perladangan, dan pada masa yang sama, komited dalam membantu lebih ramai usahawan di bawah FELCRA bangkit meningkatkan pendapatan serta mewujudkan peluang pekerjaan sendiri,” kata Mahdzir.

Untuk rekod, FELCRA Berhad menjana keuntungan perniagaannya menerusi beberapa bidang perniagaan seperti perladangan, pembajaan, hartanah, pembinaan, pendidikan dan penghasilan makanan termasuk ternakan tenusu.

Terbaharu, FELCRA Berhad telah memajukan seluas 220,086 hektar ladang bagi pihak 112,337 orang Peserta merangkumi 1,417 Projek Penyatuan dan Pemulihan, serta 33,145 hektar estet milik syarikat itu.

-EDISI9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan