29.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Bangunan LHDN Melaka retak akibat gempa bumi di Sumatera

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

BANGUNAN Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Melaka terpaksa ditutup sementara selepas pasukan bomba menemui kesan retakan di lapan tingkat premis itu dipercayai akibat gegaran gempa bumi di Indonesia, pagi tadi.

Difahamkan bangunan itu kemungkinan terpaksa ditutup selama tiga hari.

Laporan berkenaan kejadian tersebut telah disahkan Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli.

Katanya, pasukan bomba telah ke lokasi pada pukul 10.20 pagi tadi dan pemeriksaan di bangunan LHDN itu menemui kesan retakan dipercayai baharu berlaku.

“Pemeriksaan itu turut dilakukan bersama Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Datuk Ir. Ismail Abd. Rahman,” katanya, lapor Kosmo.

Tambahnya, pihaknya menyerahkan kes tersebut kepada JKR untuk menjalankan pemeriksaan lanjut keselamatan struktur bangunan tersebut.

“Kita juga akan mengeluarkan arahan selanjutnya sama ada premis itu perlu ditutup atau tidak melalui penilaian struktur bangunan,” katanya.

Terdahulu LDHN menerusi akaun Facebook rasminya turut memaklumkan perkhidmatan kaunter dan telefon di beberapa cawangannya di Semenanjung Malaysia akan mengalami gangguan hari ini.

“Susulan gegaran yang berlaku ekoran gempa bumi di Indonesia, dimaklumkan bahawa perkhidmatan kaunter dan telefon di beberapa cawangan LHDN di Semenanjung Malaysia akan mengalami gangguan pada hari ini, 25 Februari 2022.

“Segala kesulitan amat dikesali,” katanya.

Pagi tadi stesen penyiaran CNN Indonesia melaporkan satu gempa bumi berukuran 6.2 pada skala Richter menggoncang wilayah Sumatera Barat.

Menurut Jabatan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), gempa yang berlaku sekitar pukul 9.39 pagi itu terletak 17 kilometer (km) di Timur Laut Pasaman Barat, 64 km di barat laut Bukit Tinggi.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan juga memaklumkan, gegaran itu dirasai di bahagian Barat Semenanjung terutama di Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Terkini

Veto AS ke atas Palestin: Pengkhianatan terhadap keadilan

Oleh AZRIL MOHD AMIN DALAM tindakan terbaharu kedegilan diplomatik, Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa vetonya untuk menggagalkan resolusi yang mahu...

Lagi Artikel Berkaitan