26.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 9, 2024

1,420 kemalangan direkodkan sejak Op Selamat 17 dilancarkan

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

BARU sahaja empat hari Op Selamat 17 sempena sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina 2022 dilancarkan, sebanyak 1,420 kes kemalangan jalan raya direkodkan di Selangor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata angka berkenaan dicatatkan dalam tempoh empat hari pertama Op Selamat 17 ini dilancarkan.

Menurut beliau, dari jumlah tersebut, 219 kemalangan berlaku di lebuh raya, 96 kemalangan di jalan persekutuan, 182 kemalangan di jalan negeri, 825 kemalangan jalan bandaran dan 98 kemalangan di lain-lain jalan.

“Statistik ini menunjukkan penurunan sebanyak 634 kes di mana dalam Op Selamat 16 Tahun Baharu Cina 2020, sebanyak 2,054 kemalangan telah direkodkan bagi tempoh yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar beliau lagi, bagi kes kemalangan maut, sebanyak lapan kes telah direkodkan dalam Op Selamat 17 pada tahun ini yang kesemuanya melibatkan penunggang motosikal.

Menurutnya, jumlah berkenaan juga menunjukkan penurunan sebanyak enam kes, di mana dalam Op Selamat 16 tahun 2020, sebanyak 14 kes kematian direkodkan yang melibatkan 11 penunggang motosikal dan tiga kes melibatkan pejalan kaki.

“Selain itu, sebanyak 11,464 saman melibatkan enam jenis kesalahan utama antaranya, memandu di lorong kecemasan, memandu melebihi had laju, memotong garisan berkembar, memotong barisan, tidak patuh lampu isyarat serta menggunakan alat komunikasi semasa memandu,” katanya.

Advertisements

Menurutnya, selain itu pihaknya turut menggerakkan elemen seperti Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di kawasan-kawasan perumahan yang ditinggalkan sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2022.

“Setakat kini, sebanyak 2,479 rondaan telah dibuat di kawasan tersebut.

“Polis juga telah menerima sebanyak 41 permohonan Borang Balik Kampung yang diisi melalui aplikasi ‘Volunteer Smartphone Patrol’ (VSP) dan sebanyak 228 permohonan melalui Borang Balik Kampung yang diisi di balai polis,” katanya.

Beliau berkata, setakat Selasa, tiada sebarang laporan polis diterima berhubung kejadian kes pecah rumah yang ditinggalkan semasa balik kampung.

“Orang ramai dinasihatkan menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol’ (VSP) atau mengisi Borang Balik Kampung di Balai-Balai Polis berdekatan.

“Ini membolehkan polis mengenal pasti rumah-rumah yang ditinggalkan kosong semasa musim perayaan agar rondaan dapat dilakukan,” katanya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Selangor sah tarik diri Piala Sumbangsih bertemu JDT

SELANGOR FC (SFC) membuat keputusan untuk menarik diri daripada perlawanan Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’azim di Stadium Sultan...

Lagi Artikel Berkaitan