25.4 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Penganggur penggal kepala ibu berdepan hukuman gantung

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEORANG penganggur yang membunuh ibunya dengan memenggalkan kepala di rumah mereka di Kampung Baru Pasir Penambang, dua minggu lalu, didakwa di Mahkamah Majistret hari ini.

Tertuduh, Mohamed Azam Abdul Rasib, 29, dilihat tiba di pekarangan mahkamah sambil diiringi anggota dan pegawai polis kira-kira pukul 9 pagi tadi.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Roslizi Sulaiman.

Mengikut pertuduhan, Mohamed Azam didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Hamidah Ismail, 56, dekat sebuah rumah bernombor 3E 489, Pasir Penambang, antara pukul 8.10 pagi hingga 6.08 petang, 15 Januari lalu.

Tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Kenneth Oon memohon izin memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi Klang untuk dibicarakan sementara menunggu penyediaan laporan kimia, forensik dan bedah siasat.

Peguam mewakili tertuduh, Naim Mahmud turut memohon mahkamah membenarkan anak guamnya menjalani pemeriksaan psikiatri di mana-mana hospital kerajaan.

Roslizi membenarkan tempoh penyediaan laporan oleh pihak pendakwaan manakala pembelaan diarah membuat permohonan di peringkat Mahkamah Tinggi.

Sebutan semula kes ditetapkan di mahkamah sama pada 28 Mac depan.

Pada 16 Januari lalu, Edisi 9 melaporkan seorang wanita maut dalam keadaan menyayat hati apabila dipenggal anak lelakinya sendiri di rumah mereka.

Tragedi itu memilukan apabila kepala mangsa ditemukan dalam rumah berkenaan selepas dipenggal anak lelakinya dengan parang.

Kejadian itu disedari salah seorang anak mangsa selepas ibunya gagal dihubungi dan segera pergi ke rumah berkenaan sebelum melihat keadaan di dalamnya yang berlumuran darah.

Bagaimanapun, suspek yang melarikan diri berjaya diberkas polis dengan bantuan penduduk kampung di kawasan belukar belakang rumah mangsa.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Permatang di sini, kira-kira pukul 5.20 petang, 17 Januari lalu.- Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan