31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Bekas staf Ahli Parlimen gadai emas ibu untuk ke mahkamah

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

BEKAS pekerja Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa terpaksa menggadai emas ibunya berjumlah RM1,500 untuk datang ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini bagi menghadapi pertuduhan meminta dan menerima suapan berjumlah RM120,000.

Nico Kam Joo Hoe, 24, bersama anak saudara Sivarasa, Naveen Kularasa Rasiah, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi tiga pertuduhan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-duanya dituduh dengan niat bersama secara rasuah meminta wang tunai RM55,000 daripada lelaki warga Bangladesh, Mono Miah Siddikur Rahman sebagai dorongan kononnya untuk tidak melaporkan kepada pihak Imigresen berkaitan Syarikat Dyna Maintainance Services Sdn Bhd yang juga milik Mono Miah yang dikatakan membawa masuk pekerja asing dengan menggunakan kelayakan profesional untuk kerja buruh.

Bagi pertuduhan kedua, kedua-dua tertuduh didakwa dengan niat bersama secara rasuah bersetuju untuk menerima wang tunai RM45,000 daripada Mono Miah sebagai dorongan untuk tidak melaporkan kepada Imigresen berkaitan syarikat sama.

Mengikut pertuduhan ketiga, mereka dengan niat bersama secara rasuah menerima wang tunai RM20,000 daripada individu sama melalui Nico sebagai dorongan tidak melaporkan hal yang sama.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di dua restoran di Jalan Jejaka 2 dan Jalan Jejaka 9, Taman Maluri, Cheras dan sekitar Kuala Lumpur antara 17 September 2019 hingga 21 September tahun sama.

Pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 16 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan atau denda RM 10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Nico yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya meminta wang jaminan dikurangkan berikutan sudah memberikan kerjasama yang baik dalam siasatan.

“Saya bekerja sebagai pemandu van dan datang ke mahkamah hari ini dengan menggadai emas mak saya dan dapat RM1,500 saja,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Noralis Mat Rasyidah Azmi Kalai menawarkan wang jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh untuk tiga pertuduhan.

Azura kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin RM10,000 bagi setiap seorang tanpa syarat tambahan dikenakan dan menetapkan 24 Februari depan untuk sebutan semula kes.

-EDISI9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan