24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Lelaki ditendang gara-gara rakam gambar tapak berniaga

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEORANG peniaga bertindak di luar kawalan apabila menendang seorang lelaki yang cuba merakam gambar tapak perniagaannya di Pasar Pagi OUG, Kuala Lumpur semalam.

Pergaduhan tersebut dirakam orang awam sebelum video berdurasi 45 saat berkenaan tular menerusi media sosial berhubung kejadian yang berlaku pada pukul 10.45 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Amihizam Abdul Shukor berkata, hasil siasatan mendapati mangsa iaitu lelaki berusia 58 tahun mendakwa telah dicederakan oleh suspek yang berusia 53 tahun.

“Ia kerana dia mengambil gambar tapak niaga milik peniaga berkenaan sebagai bukti bahawa berlaku ketidakpatuhan syarat lesen perniagaan.

“Suspek dikatakan mendirikan tapak niaga melebihi jumlah tapak yang dibenarkan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Suspek yang tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang mengambil gambar itu bertindak menyerang dan menendang lelaki berkenaan di bahagian belakang badan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Amihizam berkata, mangsa mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) susulan kejadian itu.

Advertisements

“Kami turut menahan seorang lagi suspek lain iaitu wanita berusia 48 tahun bagi membantu siasatan.

“Semakan dilakukan mendapati kedua-dua suspek berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan cedera dengan sengaja,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan tindakan di luar kawalan yang boleh mendatangkan kecederaan dan ketakutan kepada mana-mana pihak.

“Spekulasi berkaitan video ini perlu dihentikan sehingga penyiasatan pihak polis selesai dijalankan.

“Maklumat lain berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.-Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan