SEBUAH hotel bajet yang menjadi sarang kegiatan sindiket pelacuran warga Thailand digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sekitar daerah Subang Jaya, Selangor.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam Op Gempur itu, pihaknya menahan 14 individu terdiri daripada 12 wanita warga Thailand, seorang wanita Myanmar dan seorang lelaki Britain berusia antara 21 hingga 69 tahun.
Menurutnya, dalam serbuan pada pukul 8.45 malam itui, tiga orang pelanggan lelaki warga tempatan turut dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan.
“Hasil risikan mendapati premis ini dikunjungi pelanggan yang terdiri daripada warga tempatan dan warga asing dengan menggunakan pakej perkhidmatan seks yang ditawarkan dengan harga RM200 sehingga RM270 bagi tempoh masa 45 minit dan RM950 bagi langganan outcall bermula dari jam 10 malam sehingga 7 pagi.
“Pelanggan perlu memilih wanita dan membuat tempahan terlebih dahulu melalui laman web dan aplikasi Telegram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Khairul Dzaimee, semasa serbuan dijalankan semua wanita warga asing tersebut tidak memberikan kerjasama dan enggan membuka pintu bilik.
Menurutnya, terdapat juga wanita berkenaan cuba membuat provokasi dan memberikan pelbagai alasan untuk melepaskan diri.
“Turut dijumpai semasa serbuan sejumlah kondom dan cecair pelincir bagi tujuan layanan seks.
“Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen,” katanya.
Kesemua mereka ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk siasatan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
-EDISI9