29.2 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Banjir: MBSA keluarkan 34,188 tan metrik sisa sampah

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

MAJLIS Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengeluarkan sebanyak 34,188 tan metrik sisa sampah banjir dari lokasi yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 16,431 tan metrik sisa sampah dari Taman Muda telah dilupuskan setakat ini.

Kata MBSA, pihaknya akan terus mempergiatkan kerja-kerja pembersihan dengan menggerakkan jentera dan logistik dalam usaha memperkasakan pembersihan pasca banjir di kawasan Taman Sri Muda.

“Kerja-kerja pembersihan di Taman Sri Muda telah melibatkan penggunaan peralatan dan logistik sebanyak 1,537 unit lori dan 317 jentera backhoe (jengkaut).

“Selain itu, ia turut melibatkan keperluan logistik yang lain seperti tong roro, lori jetting, lori open tipper, excavator berantai, roadsweeper dan sebagainya,” katanya.

Menurut MBSA, pihaknya juga telah mengenal pasti enam lokasi untuk dijadikan Pusat Transit Sisa Banjir dalam usaha untuk menguruskan sampah sisa banjir ini dengan lebih cekap dan pantas.

“Enam lokasi ini ialah di Transfer Station Seksyen 21, Transfer Station Seksyen 35, Transfer Station Seksyen 34, Transfer Station Seksyen 29, Transfer Station Seksyen 28 dan Transfer Station Seksyen 25,”katanya.

Jelas MBSA, sampah sisa banjir dari lokasi terjejas banjir akan dikumpulkan di transfer station tersebut sebelum dibawa ke tapak pelupusan sampah di Jeram, Kuala Selangor untuk dilupuskan.

“Dianggarkan seramai 1,640 pekerja pembersihan terlibat dalam operasi pembersihan pasca banjir.

Advertisements

“Sebagai tambahan, pihak MBSA turut menggerakkan kakitangan dari pelbagai jabatan untuk membantu proses pembersihan pasca banjir ini,” katanya.

Ujar kenyataan itu, usaha-usaha pemulihan pasca banjir turut mendapat bantuan daripada agensi seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), bomba, polis dan SWCorp Malaysia.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) yang turut menghulur bantuan tenaga dan jentera seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Manjung, Majlis Perbandaran Kulai dan Majlis Daerah Batu Gajah.

“Selain itu, kerja-kerja pembersihan pasca banjir turut dibantu badan-badan bukan kerajaan (NGO), para sukarelawan dan individu dari seluruh negara yang amat prihatin dan telah menghulur tangan membantu dengan ikhlas bagi membolehkan usaha pembersihan di kawasan yang terjejas dapat dilakukan dengan segera,” jelasnya.

Dalam pada itu, MBSA turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka dan berwaspada untuk memastikan keselamatan diri dan keluarga semasa musim banjir.

“Sekiranya hujan lebat turun secara berterusan, sentiasa bersedia untuk berpindah dan mendengar arahan pihak berkuasa dari masa ke semasa,” katanya.

Orang ramai juga boleh menghubungi Bilik Pantas MBSA yang beroperasi 24 jam di talian 03-5510 5811 sekiranya berlaku banjir dan bencana lain seperti pokok tumbang dan tanah runtuh.- Edisi 9


Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan