CUBAAN sekumpulan lelaki menyeludup 413 botol perisa vape bernilai RM35,105 ke negara jiran tidak berhasil apabila dirampas Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) dalam serbuan yang dilakukan di pangkalan haram Ibrahim Pencen, Rantau Panjang, Kelantan.
Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam kejadian 11.16 malam, anggotanya ternampak sekumpulan lelaki sedang mengangkat kotak ke dalam perahu ketika membuat rondaan.
Katanya, anggota kemudiqn ni menghampiri kumpulan terbabit yang dilihat mencurigakan, namun mereka bertindak melarikan diri ke negara jiran menggunakan perahu serta meninggalkan kesemua kotak berkenaan.
“Pemeriksaan ke atas kotak yang ditinggalkan menemui botol perisa vape yang disyaki untuk diseludup ke negara jiran.
“Malah, pihak kami difahamkan ia mendapat permintaan tinggi di Thailand.
“Sehubungan dengan itu, kesemua barangan dirampas dan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Lati di Pasir Mas untuk tindakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Azhari berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 13(a) Akta Racun 1952.
Menurutnya, penyeludup terbabit menjalankan kegiatan haram ini pada waktu tengah malam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Bagaimanapun, PGA7 tidak pernah leka kerana bertugas 24 jam sehari bagi mengawal sempadan daripada dibolosi,”katanya.- Edisi 9