31 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 16, 2024

Video ‘MC palsu’ tiada niat perlekeh pengamal perubatan – SPRM

Video tersebut telah diturunkan demi menjaga sensitiviti dan keharmonian semua pihak

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan pihaknya sama sekali tidak berniat menjatuhkan atau mempersoalkan profesionalisme pakar atau pengamal perubatan susulan video MC Boleh Menjadi Rasuah pada 4 Januari lalu.

Suruhanjaya itu berkata, video yang diterbitkan bertujuan untuk mendidik masyarakat serta memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai perbuatan menawar, memberi dan menerima rasuah.

Menurut SPRM, dalam konteks video tersebut, ia merujuk kepada isu pemberian sijil cuti sakit (MC) palsu dan contoh ini berdasarkan situasi benar yang pernah disiasat oleh SPRM, menerusi aduan yang diterima daripada pihak majikan dan orang awam.

“SPRM mengambil maklum mengenai respons yang diterima termasuk daripada pihak Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berhubung video ini.

“Sehubungan dengan ini, bersandarkan kepada nilai kebertanggungjawaban dan kesepaduan, SPRM mengambil keputusan untuk menurunkan video tersebut demi menjaga sensitiviti dan keharmonian semua pihak,” kata SPRM dalam kenyataan hari ini.

Tambah kenyataan itu lagi, SPRM amat menghargai segala usaha, pengorbanan serta sumbangan daripada setiap pengamal perubatan di negara ini, khususnya ketika negara berdepan dengan penularan pandemik Covid-19.

Terdahulu, media melaporkan MMA menyelar klip video kesedaran antirasuah yang dikongsikan SPRM memaparkan seorang doktor menerima rasuah untuk mengeluarkan MC.

Dalam kenyataannya, MMA menuntut SPRM menurunkan segera klip video yang dianggap mencemarkan imej profesion perubatan itu.

“Agensi itu sepatutnya menggunakan contoh lain untuk menyampaikan mesejnya. Sebagai doktor kami rasa amat terhina dengan hantaran itu yang wajar diturunkan segera,” kata MMA.

Dalam klip video dikongsikan di akaun Twitter rasmi SPRM, seorang lelaki dilihat meminta MC walaupun doktor memberitahu dia sihat.

Lelaki itu kemudian menyerahkan sampul surat kepada doktor itu untuk “memudahkan” permintaannya.

Doktor itu dilihat menerima sampul berkenaan sebelum menandatangani MC untuknya. Video itu berakhir dengan kata-kata “semarakkan integriti, rasuah diperangi”.

-EDISI9

Terkini

MQA saran IPT lahirkan lebih ramai profesor praktis

KUALITI pendidikan tinggi negara akan terus meningkat dengan melahirkan lebih ramai 'professor of practice' atau profesor praktis. Ketua Pegawai Eksekutif...

Lagi Artikel Berkaitan