28.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Tidak berhenti di stesen, 4 kakitangan KTMB digantung tugas

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SERAMAI empat kakitangan Keratapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) termasuk pemandu, pembantu pemandu, penyelia kereta api dan pemeriksa tiket digantung tugas susulan kereta api tidak berhenti di Hentian Kuala Gris, Gua Musang, Kelantan.

Tindakan demikian diambil berikutan kejadian sehingga telah menyebabkan 100 pelajar tidak dapat ke sekolah pada hari pertama penggal ketiga 2021/2022, semalam.

Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Taha, berkata beberapa kakitangan lain yang terbabit dalam insiden semalam turut dipanggil sebagai saksi bagi membantu siasatan yang akan dilengkapkan dalam tempoh dua minggu.

Beliau berkata pihaknya amat kesal dan memandang serius perkara itu dan satu panel siasatan sudah diwujudkan bagi membuat siasatan lebih terperinci dengan mengambil kira semua aspek sama ada dari sudut operasi, teknikal serta corak larian kereta api berkenaan.

“Pihak KTMB menganggap insiden ini tidak sepatutnya berlaku dan kita akan pastikan beberapa langkah akan diambil bagi memastikan ia tidak akan berulang pada masa akan datang.

“Bagaimanapun, tindakan yang akan diambil nanti bergantung kepada penilaian panel terhadap kes itu , selain turut mencadangkan kepada pihak pengurusan kereta api untuk tindakan yang perlu diambil dalam menyelesaikan insiden ini,” katanya, lapor BH Online.

Advertisements

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Hentian Kuala Gris, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Zain berkata, panel siasatan yang diwujudkan dalam insiden berkenaan adalah prosedur biasa bagi membantu menangani sesuatu insiden yang berlaku dalam KTMB dan kejadian semalam adalah yang pertama kali.

“Dalam insiden semalam, pihak KTMB sekali lagi memohon maaf kepada semua warga Kuala Gris dan pelajar sekolah terutamanya kepada ibu bapa serta pihak SMK Dabong selain penduduk di kawasan sekitar di atas kejadian yang berlaku semalam,” katanya.

Media semalam melaporkan, keterujaan 100 pelajar SMK Dabong untuk ke sekolah pada hari pertama penggal ketiga 2021/2022 bertukar sebaliknya, apabila kereta api yang sepatutnya mereka naiki tidak berhenti di Hentian Kuala Gris sehingga menyebabkan ada dalam kalangan mereka tidak dapat hadir ke sekolah.

Situasi itu menyebabkan kesemua pelajar terbabit tidak dapat ke sekolah yang akhirnya pelajar itu kembali semula ke rumah masing-masing.- Edisi 9

Advertisements

Terkini

Piala Asia B23: Pemain muda balik tangan kosong dari Qatar

DUA minggu berkampung di Doha, Qatar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan sehingga korbankan hari raya Aidilfitri bersama keluarga ...

Lagi Artikel Berkaitan