30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

2021 tinggalkan coretan peristiwa jadi kenangan semua

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak ketinggalan mencoretkan ucapan sempena Sambutan Tahun Baharu 2022 di Facebook beliau hari ini.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau memanjatkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana dengan limpah dan kurnia-Nya kita semua sekali lagi dapat melangkah ke Tahun Baharu 2022.

Dalam masa sama mengajak semua memandang sejenak ke belakang bagi merenung dan menilai apa yang sudah kita lakukan pada tahun lalu.

“Adakah kita berpuas hati dengan apa yang telah kita capai atau banyak lagi yang perlu diperbaiki.

“Dari sini, kita berusaha untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada atau meningkatkan lagi kejayaan yang sudah dikecapi.

“Tahun 2021 meninggalkan kita dengan banyak coretan peristiwa yang pastinya menjadi kenangan kepada kita semua.

“Kita masih lagi diuji dengan pandemik COVID-19. Ia melingkari kehidupan seharian kita malah sudah menjadi sebahagian daripada hidup kita.

“Pandemik COVID-19 juga memberi kesan yang cukup besar dalam kehidupan kita sehingga sekarang. Setiap orang merasa kesannya. Yang membezakan hanyalah kecil atau besar sahaja kesan tersebut.

“Bagaimanapun berkat kerja keras, perancangan yang teliti dan pelan tindakan yang komprenhensif Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan saya sebelum saya meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, Malaysia berjaya menangani pandemik ini dengan berkesan khususnya dalam aspek pemberian vaksin kepada rakyat,”katanya.

Muhyiddin berkata, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) berjaya dilaksanakan dengan cekap dan sehingga kini sebanyak 22,855,374 individu atau 97.6 peratus populasi dewasa di negara ini lengkap menerima suntikan vaksin COVID-19.

“Hasil daripada kejayaan program vaksinasi ini, hampir kesemua sektor kehidupan rakyat sudah dibuka sepenuhnya. Rakyat sudah boleh menjalani kehidupan seperti biasa.

“Aktiviti sosial dan ekonomi kembali rancak dan rakyat seperti sudah kembali kepada kehidupan sebelum pandemik.

“Ketika negara sedang menuju pemulihan pasca pandemik, negara sekali lagi diuji dengan banjir besar di beberapa buah negeri minggu lalu.

“Saya merasa amat sedih dengan bencana ini kerana banyak harta benda yang musnah dan nyawa terkorban.

“Kejadian banjir besar ini juga sedikit sebanyak merencatkan pelan pemulihan ekonomi negara yang telah berada pada landasan yang betul sebagaimana dirancang Majlis Pemulihan Negara (MPN).

“Bagaimanapun kita mesti reda dengan ujian dan dugaan besar ini. Pastinya ada hikmah yang tersembunyi di sebaliknya.

“Bencana ini telah menyatukan semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan,” katanya.

Ujarnya, setiap rakyat Malaysia menunjukkan sikap solidariti dan kebersamaan dengan saling membantu antara satu sama lain.

“Saya kagum dan terharu melihat begitu ramai rakyat Malaysia yang menjadi ‘sukarelawan dan petugas barisan hadapan’ secara sukarela demi membantu mangsa banjir.

“Mereka tampil menghulur bantuan dengan bermacam cara. Ada yang turun ke lokasi mengerah tenaga dan kudrat, ada yang menghulurkan sumbangan wang ringgit dan tidak kurang yang mengutus doa untuk keselamatan serta kesejahteraan kepada mangsa banjir. Syabas rakyat Malaysia!

“Dengan pandemik COVID-19 yang berleluasa terutama penemuan varian lebih bahaya seperti Omicron serta banjir yang masih melanda, tahun 2022 sudah pasti menjadi tahun yang sukar dan mencabar bagi kita semua.

“Bagaimanapun saya percaya, cabaran ini dapat kita tangani dengan baik jika kita terus kekal bersatu, fokus dan tidak lalai dengan apa yang sedang berlaku di sekeliling kita serta sentiasa bersiap sedia berhadapan dengan cabaran luar jangka.

“Akhir kata, saya berdoa ke hadrat Allah SWT agar kita sentiasa dilindungi, diberi kekuatan dan dipermudahkan segala urusan dalam tahun baharu ini.

“Saya yakin Tahun Baharu 2022 akan menjadi tahun yang lebih baik, sejahtera dan makmur dari tahun-tahun sebelumnya untuk Malaysia, insya-Allah,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan