24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Bantuan langsung dari kerajaan untuk mangsa banjir

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

BANTUAN Banjir Keluarga Malaysia yang disenaraikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob malam tadi jelas memberi alternatif kepada cadangan lain mahupun usaha-usaha yang telah diumumkan.

Pengarah Ekonomi Pejabat Perdana Menteri Shahril Sufian Hamdan berkata, sebelum ini timbul kekhuatiran bahawa antara tawaran yang telah diumumkan lebih awal, iaitu pinjaman daripada Tekun dan Bank Simpanan Nasional (BSN) walaupun pada kadar sifar faedah dan moratorium automatik, akan menambah hutang mangsa banjir.

“Ternyata pandangan ini telah diambil kira dan kali ini, sebagai tambahan, kerajaan tampil dengan bantuan-bantuan berbentuk suntikan perbelanjaan daripada kerajaan, bukannya simpanan pencarum sendiri.

“Jumlah bantuan tunai dan baucar tunai kepada mangsa banjir juga mencecah RM10,000 malah amaun lebih besar daripada itu jika ada kerosakan kediaman yang serius atau kemusnahan kediaman.

“Ini menjadikan jumlah bantuan langsung dari Kerajaan kepada sesebuah isi rumah yang terkesan boleh mencecah sehingga RM61,000,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Beliau berkata, dengan usaha demikian, ia sekaligus mengelak mangsa banjir yang masih mempunyai simpanan KWSP perlu terus meminjam dari masa depan sendiri dan terlepas peluang pendapatan dividen tahunan KWSP tersebut.

“Maka, dengan pengumuman malam tadi, kerajaan dilihat sedang berusaha mengimbangi antara keperluan mendesak semasa, dan tanggungjawab sesebuah Kerajaan memelihara masa depan rakyat dan negara,” katanya.

Di samping itu, beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata, bantuan yang diumumkan juga meliputi semua mangsa banjir – termasuk mereka yang bukan pencarum KWSP atau yang telah mengeluarkan caruman melalui tiga skim sebelum ini (iLestari, iSinar, iCitra) sehingga sebanyak RM19,500 seorang.

Advertisements

“Juga menarik ialah segala perancangan yang ditekankan Perdana Menteri berkenaan keutamaan tahun 2022 sebagai tahun merancakkan kembali ekonomi makro dan ekonomi rakyat – membina atas beberapa tanda-tanda positif mutakhir ini seperti peningkatan FDI, pengurangan pengangguran, kenaikan nilai jualan borong dan runcit, dan sebagainya.

“Semoga segala perencanaan yang mengambilkira segenap suara dan sudut dapat dilaksanakan dengan sebaiknya, bagi memberi sinar baru kepada rakyat dan negara,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut berharap mudah-mudahan, penularan varian Omicron juga dapat diurus supaya merealisasikan harapan kebangkitan ekonomi dunia dan khususnya negara Malaysia pada tahun 2022.

“Tidak dinafikan, timbul keresahan akibat angka-angka penularan dan kebolehjangkitan tinggi yang disaksikan di negara lain sehingga melepasi rekod-rekod sebelum ini.

“Misalnya, Amerika Syarikat (589, 000 kes harian baru), Perancis (206, 000) dan United Kingdom (188, 000).

“Namun, kita juga wajar mengambil maklum petanda awal dari negara lain turut menggambarkan bahawa varian ini mungkin tidak “seganas” varian lain, dengan kadar kemasukan hospital dan kematian lebih rendah daripada sebelumnya.

“Sama-sama kita berdoa bahawa buat negara kita, cabaran ini serta ujian lain dapat terus dikendali dan didepani bersama dengan sebaiknya,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan