36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Video tular: Bawa tiga kanak-kanak secara bahaya disiasat

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

JABATAN Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah mengesan satu video tular di media sosial mengenai sebuah kenderaan jenis Perodua Alza yang membawa tiga penumpang dipercayai kanak-kanak secara berbahaya.

JSPT dalam satu hantaran dalam Facebook menyatakan, penumpang kanak-kanak berkenaan telah mengeluarkan separuh badan di bahagian penumpang hadapan dan penumpang belakang sebelah kiri dan kanan kenderaan yang sedang bergerak.

Menurutnya, tingkah laku berkenaan merupakan satu tindakan yang amat berbahaya dan boleh mendatangkan kemalangan.

“JSPT sedang menyiasat video kejadian dan telah mengenalpasti kenderaan tersebut serta akan mengambil tindakan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada.

“Antara tindakan yang boleh dikenakan kepada pemandu mahupun ibu bapa atau penjaga kepada penumpang kanak-kanak adalah seperti Seksyen 336 Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain,” katanya hari ini.

JSPT juga menyatakan tindakan berkenaan juga boleh disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu penganiyaan, pengabaian ke atas kanak-kanak.

“JSPT mengingatkan semua pemandu yang membawa kanak-kanak agar sentiasa memastikan keselamatan kanak-kanak di bawah jagaan dan kawalan mereka terjamin.

“Sekiranya berlaku kecuaian oleh pemandu di atas ketidakpatuhan peraturan keselamatan semasa membawa kanak-kanak tersebut, maka tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap pemandu dan ibu bapa/ penjaga tersebut.

Terdahulu tular di media sosial sejak semalam, video berdurasi 14 saat memaparkan aksi tiga orang penumpang kenderaan yang duduk di tingkap dengan sebahagian kaki di dalam kenderaan yang sedang bergerak di lorong paling kanan.

Aksi berkenaan dirakam oleh pengguna jalan raya yang bimbang melihat aksi kanak-kanak tersebut kerana sangat berbahaya.

-EDISI9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan