24.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Omicron: Melaka, Johor kesan kes jemaah pulang umrah

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Johor dan Melaka telah mengesan kes positif Covid-19 varian Omicron membabitkan individu yang pulang daripada menunaikan umrah di Arab Saudi.

Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, wanita berusia 34 tahun itu berada di Arab Saudi bersama suaminya serta ahli keluarga pada 4 Disember hingga 15 Disember lalu.

Menurutnya, pasangan suami isteri itu menjalani ujian saringan PCR Covid-19 ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum pulang ke Melaka menaiki van pesiaran yang disediakan ejen umrah.

“Pada 18 Disember lalu, keputusan ujian saringan PCR diperoleh dan individu itu disahkan positif Covid-19 lalu dirujuk ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Bukit Serindit.

“Bagaimanapun pada Sabtu (semalam) kes disahkan positif Covid-19 varian Omicron dan individu itu telah dimasukkan ke wad isolasi Hospital Melaka untuk tujuan pemantauan rapi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pejabat Kesihatan Negeri di Ayer Keroh, Melaka hari ini.

Sementara itu, di Johor JKN melaporkan dua kes Omicron membabitkan pasangan suami isteri yang baru pulang dari Arab Saudi selepas mengerjakan ibadah umrah pada 25 Disember lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, R. Vidyananthan berkata, pasangan berkenaan telah pergi menunaikan umrah pada 4 Disember dan pulang ke Malaysia melalui klia pada 16 Disember lepas

Advertisements

Menurutnya, ujian saringan PCR di pintu masuk antarabangsa yang dijalankan pada 16 Disember telah mengesan keduanya positif pada 18 Disember lalu.

“Sampel PCR tersebut kemudiannya telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bagi menjalani proses jujukan genom dan keputusan kemudiannya didapati positif Omicron.

“Kini kedua-duanya sedang menjalani isolasi di rumah di Johor Bahru.

“Kesemua kontak rapat kepada kedua-dua kes juga telah dikenal pasti dan telah diberikan arahan pengasingan dan pemerhatian di rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Vidyananthan, susulan perkembangan terbaharu ini, JKN Johor mengingatkan agar semua rakyat negeri itu yang pulang dari luar negara khususnya daripada menunaikan umrah, untuk mematuhi arahan kuarantin wajib yang diberikan.

Katanya, mereka perlu terus kekal berada di dalam bilik berasingan dan tidak bertemu dengan ahli rumah atau individu yang lain.

“Kegagalan mematuhi arahan ini akan menyebabkan penularan jangkitan COVID-19 termasuk varian Omicron dalam kalangan ahli keluarga dan komuniti,” katanya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan