24.8 C
Kuala Lumpur
Sunday, October 13, 2024

Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Keluarga Malaysia di UPSI

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PUSAT Penyelidikan dan Pendidikan Keluarga Malaysia akan ditubuhkan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), selari jolokannya sebagai institusi ulung yang membawa perubahan dalam pengembangan pendidikan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata menjadi harapannya agar pusat berkenaan berupaya menginstitusikan Keluarga Malaysia dengan menjadi hab penyelidikan, pendidikan, latihan dan penyebaran ilmu dalam kalangan rakyat.

Dalam masa sama, Ismail Sabri juga yakin, dengan kreativiti, inovasi dan kolaborasi strategik membabitkan pelbagai pihak dengan pusat berkenaan dapat memainkan peranan signifikan dalam meningkat, mempromosi serta menyebarluaskan konsep dan usaha membudayakan nilai pengkayaan Keluarga Malaysia.

“Uniknya, institusi pengajian tinggi seperti UPSI ini dilatari kepelbagaian agama, bangsa, usia dan latar belakang ekonomi. Bagi merentasi hari, kita memerlukan semangat serta nilai kekeluargaan. Umpama aur dan tebing; tiada aur, runtuhlah tebing.

“Tuntasnya, persekitaran ini telah membentuk keluarga baharu kepada pelajar dan di sinilah lahirnya idea untuk membentuk Keluarga Malaysia @ IPT.

“Aura Keluarga Malaysia dilakar melalui kerjasama yang harmoni, sikap saling menghormati dan keterbukaan pelajar terhadap perbezaan,” katanya ketika merasmikan Program Keluarga Malaysia@IPT 2021 di UPSI di Tanjung Malim, hari ini.

Advertisements

Hadir sama, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Di samping itu, katanya, Pelancaran Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia pada 28 Oktober lalu juga adalah sangat bertepatan
dengan nilai kebersamaan yang menjadi antara tunjang Keluarga Malaysia ini.

“Sebagai permulaan, yayasan ini disalurkan dana permulaan sebanyak RM 5 juta bagi membantu mempermudah serta meringankan beban kewangan para pelajar dan keluarga khususnya dalam mendepani fasa pandemik.

“Penubuhan yayasan ini seiring dengan prinsip kerajaan untuk sentiasa memastikan tiada seorang pun yang tercicir atau terpinggir.

“Insya-Allah , yayasan akan mewujudkan kolaborasi strategik dengan semua saluran bantuan untuk mahasiswa agar proses ini dapat diselaraskan dengan lebih baik.

Selain itu, katanya, khusus untuk mahasiswa , kerajaan juga turut memberikan pengurangan 20 peratus yuran pelajar warga Malaysia bagi semester 1 2021 / 2022, selain inisiatif Peranti Siswa Keluarga Malaysia untuk 600,000 mahasiswa dari keluarga B40.-Edisi 9

Advertisements

Terkini

1,091 projek naik taraf sekolah daif telah diluluskan – KPM

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) telah meluluskan sebanyak 1,091 projek naik taraf dan pembangunan semula sekolah daif di seluruh negara...

Lagi Artikel Berkaitan