29.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Perubahan iklim penyumbang kepada bencana alam

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

SEPANJANG bulan ini, beberapa bencana alam telah pun berlaku diseluruh dunia termasuklah Malaysia seperti banjir, tanah runtuh, kebakaran dan gelombang haba.

Faktor utama bencana alam yang berlaku ini disebabkan perubahan iklim yang bukan sahaja telah mengakibatkan peningkatan kejadian bencana alam, akan tetapi boleh menyebabkan kehilangan nyawa dan kerugian harta benda.

Menurut laporan Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Cuaca (IPCC) pada tahun 2007 kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), bahawa ia merumuskan lebih daripada 90 peratus pemanasan global sejak 50 hingga 60 tahun lalu adalah berpunca daripada aktiviti manusia.

Antara penyebab utama perubahan iklim menurut laman web NASA adalah kesan rumah hijau. Pemanasan yang terhasil adalah apabila atmosfera memerangkap haba yang terpancar dari bumi ke angkasa.

Gas-gas seperti metana, karbon dioksida dan nitro oksida bersifat menyimpan dan memerangkap haba serta melambatkan proses pembebasan haba di atmosfera daripada keluar.

NO NATURE - NO FUTURE. Global climate change strike - No Planet B - Global Climate Strike 09-20-2019
Photo by Markus Spiske on Unsplash

Disebabkan proses inilah terjadinya pemanasan global yang meningkatkan suhu atmosfera bumi secara berterusan.

Antara penyebab lain perubahan iklim adalah penjanaan dan penggunaan elektrik, pembakaran bahan api fosil, pengilangan barangan termasuk makanan harian, penyahhutanan dan pengangkutan.

Kesan perubahan iklim bukan sahaja membahayakan kepada manusia, malahan keseluruhan makhluk lain meneruskan kehidupan. Perubahan iklim telah merubah corak cuaca dan mengganggu keseimbangan ekosistem.

Ini mengakibatkan kepupusan spesies, peningkatan suhu bumi, kemarau, putus bekalan makanan seterusnya kebuluran.

Para saintis dari IPCC meramalkan pencairan ais kutub menjelang tahun 2100, dapat meningkatkan paras laut kepada 7-23 inci disebabkan pemanasan global dan perubahan iklim.

Bukan itu sahaja, penghuni di kawasan persisiran pantai dan infrastruktur yang menyokong mereka seperti bangunan, pelabuhan dan loji rawatan air juga berkemungkinan terjejas dan menghadapi banjir atau ribut kuat yang merosakkan infrastruktur tersebut.

Penghuni di kawasan mendatar pula, kedudukan pantai berkemungkinan beralih beberapa batu ke kawasan dalaman.

Oleh itu, beberapa usaha boleh dilakukan dalam mengurangkan kesan perubahan iklim secara kolektif mahupun secara individu.

Antaranya, penjimatan elektrik. Contohnya, menjemur kain berbanding menggunakan mesin pengering dan mengehadkan penggunaan pendingin hawa cukup sekadar menghilangkan panas.

Selain itu, bertukar kepada barangan elektrik pintar dan pengehadan penggunaan harian barangan elektrik.

Seterusnya, mengurangkan penggunaan pengangkutan persendirian dan menaiki kenderaan awam, secara tidak langsung mengurangkan kadar pelepasan gas karbon monoksida ke atmosfera serta mengelakkan kesesakan lalulintas.

Amalan kitar semula atau dikenali dengan 3R iaitu “Reduce, Reuse, Recycle” (kurangkan, guna semula dan kitar semula) dapat mengurangkan penggunaan bahan semula jadi, menghasilkan sumber kewangan, memberi faedah kepada masyarakat serta merendahkan kadar bahan buangan.

MASYITAH SALAHUDIN
Pelajar Tahun 2
Fakulti Syariah Undang-undang
Universiti Sains Islam Malaysia


Kirimkan pandangan, kritikan dan pendapat tentang isu-isu semasa menerusi e-mel: [email protected] dengan menyertakan nama penuh, tahun pengajian, fakulti dan universiti. Hanya artikel yang terpilih akan disiarkan.

Facebook: https://www.facebook.com/myedisi9
Instagram: https://www.instagram.com/myedisi9
Twitter: https://www.twitter.com/myedisi9
TikTok: https://www.tiktok.com/@myedisi9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan