32.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Tubuh jawatankuasa Kabinet tangani harga barang – Muhyiddin

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan agar kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa di peringkat Kabinet bagi menangani isu kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, isu kenaikan harga barang perlu dipandangan serius kerana ia akan menjejaskan proses pemulihan negara.

Manakala rakyat yang baru mula dapat menarik nafas lega selepas sektor-sektor ekonomi dibuka semula, katanya, kini terbeban dengan masalah kenaikan harga barang yang tentunya menjejaskan kehidupan mereka.

“Data terkini daripada Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) bagi pengeluaran tempatan meningkat sebanyak 12.3 peratus pada September 2021, berbanding sembilan peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

“Ini akan menyebabkan peningkatan inflasi untuk beberapa bulan akan
datang yang tentunya akan membebankan pengguna,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya hari ini.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, beliau berharap agensi penguat kuasa akan terus melipatgandakan usaha penguatkuasaan untuk memastikan pengeluar, pembekal dan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga pada kadar yang tidak munasabah.

Katanya, tindakan undang-undang yang tegas mesti diambil di bawah
Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 ke atas mereka yang ingkar.

Sebelum itu Muhyiddin berkata, MPN dalam sidang-sidang yang lepas telah meneliti kesan ke atas keupayaan sektor-sektor ekonomi untuk bangkit pulih sebaik ekonomi negara dibuka semula.

Ini terutama dari sudut ketidakupayaan penawaran untuk memenuhi pemintaan yang boleh menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Dalam hal ini, katanya, isu kekurangan tenaga kerja yang meruncing dalam pelbagai sektor dan masalah kecairan yang dihadapi oleh
Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) telah diberikan
penekanan khusus oleh MPN.

“Sehubungan itu, MPN telah menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas berkenaan isu tenaga kerja bagi mengenal pasti langkah-langkah
penyelesaian segera yang boleh dipertimbang dan dilaksanakan oleh
Kerajaan.

“Jawatankuasa ini yang diterajui Kementerian Sumber Manusia
dan dianggotai pelbagai agensi berkenaan akan membentangkan laporan dan cadangan penyelesaian kepada MPN dalam mesyuarat yang akan datang,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata, MPN turut menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas berkenaan isu kekangan aliran tunai dan pembiayaan bagi PMKS.

Katanya, jawatankuasa tersebut bertujuan mencari penyelesaian segera isu kecairan yang dihadapi PMKS dalam tempoh pemulihan ini.

“Langkah ini dijangka dapat membantu PMKS memulakan perniagaan atau operasi dengan segera sekali gus meningkatkan keupayaan penawaran.

“Jawatankuasa ini yang diterajui oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi juga akan membentangkan laporan dan cadangan penyelesaian kepada MPN,” katanya.

Sementara itu, bagi membantu meringankan beban rakyat pada waktu yang sukar ini, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, parti itu akan menganjurkan Gerai Prihatin Rakyat yang menjual barangan keperluan harian pada harga murah di seluruh negara.

Kata beliau, Ahli Majlis Tertinggi PN dan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dipertanggungjawabkan untuk mengetuai jawatankuasa di peringkat nasional bagi menganjurkan Gerai Prihatin Rakyat. – Edisi 9

Terkini

Afidavit Zahid manifestasi usaha pembelaan terhadap Najib

TINDAKAN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang memfailkan afidavit tambahan bagi menyokong petisyen Datuk Seri Najib Razak berhubung kewujudan...

Lagi Artikel Berkaitan