29.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Sasaran 500,000 peluang pekerjaan tahun ini berjaya dicapai – PM

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEBANYAK 500,257 pencari kerja telah berjaya mendapat peluang pekerjaan melalui 27 inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan, melangkaui sasaran asal sebanyak 500,000 peluang pekerjaan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan melalui Belanjawan 2021.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, data yang diperoleh melalui Majlis Pekerjaan Negara itu adalah bersempena dengan Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) 100 Hari.

Menurut beliau, kejayaan berkenaan lebih bermakna memandangkan pasaran buruh menghadapi pelbagai cabaran getir akibat penularan COVID-19 sejak Mac tahun lalu sehingga pengangguran melonjak kepada kadar tertinggi 5.3% pada Mei tahun lalu.

“Antara inisiatif utama yang telah menyumbang kepada pencapaian kejayaan tersebut adalah Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) dan Malaysia Short Term Employment Programme (MySTEP).

“Setakat 3 Disember lalu PenjanaKerjaya 2.0 telah berjaya menempatkan seramai 221,966 orang pekerja, melangkaui sasaran keseluruhan 200,000 ribu peluang pekerjaan bagi tahun 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, PenjanaKerjaya dikendalikan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang menyediakan insentif penggajian sehingga 60% daripada gaji bulanan kepada majikan serta program latihan kemahiran tinggi atau sijil profesional kepada pekerja sehingga RM7,000.

Manakala menurut beliau, MySTEP yang merupakan inisiatif Kerajaan dengan nilai RM700 juta telah berjaya melangkaui sasaran keseluruhan 50,000 peluang pekerjaan bagi tahun ini dengan menempatkan seramai 61,328 orang pekerja secara kontrak selama sekurang-kurangnya enam bulan di pelbagai Kementerian dan Agensi Kerajaan serta Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

“Dari jumlah tersebut, seramai 41,680 orang pekerja telah berjaya ditempatkan di sektor awam manakala 19,648 orang pekerja pula ditempatkan di GLC dan rakan-rakan strategik mereka.

“Di bawah program tersebut, pemohon telah ditempatkan di pelbagai Kementerian dan Agensi seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Pengajian Tinggi, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia, PETRONAS, Permodalan Nasional Berhad, KWSP dan Khazanah Nasional.

Malah menurut beliau, sejak program PenjanaKerjaya 2.0 dan MySTEP mula dilaksanakan pada bulan Januari lalu, jumlah pekerjaan yang disediakan sentiasa mengatasi sasaran bulanan yang ditetapkan.

“Selain dari PenjanaKerjaya 2.0 dan MySTEP, Kerajaan juga berjaya mewujudkan lebih 123,312 pekerjaan baharu melalui pelaburan dalam negara dan 74.2 peratus daripadanya dalam kategori mahir dan separuh mahir.

“Jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada pekerjaan baharu yang terhasil daripada komitmen pelaburan bagi tahun ini,” katanya.

Advertisements

Selain itu, menurut Perdana Menteri, memandang terus ke hadapan seperti mana yang dibentangkan melalui Belanjawan 2022, Kerajaan di bawah inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia (atau JaminKerja) akan menyediakan 600,000 peluang pekerjaan dengan peruntukan berjumlah RM4.8 bilion melalui pelbagai program.

“Kerajaan melalui PERKESO akan meneruskan usaha pengambilan pekerja melalui inisiatif JaminKerja dengan peruntukan sejumlah RM2 billion.

“Kerajaan akan memberi insentif sebanyak 20% daripada gaji bulanan bagi tempoh enam bulan pertama dan 30% bagi enam bulan berikutnya tertakluk kepada pekerjaan bergaji RM1,500 ke atas.

Menurut beliau, Kerajaan berharap usaha berkenaan akan dapat mewujudkan 300,000 peluang pekerjaan baharu bagi tahun hadapan.

“Selain itu, penerusan inisiatif MySTEP dengan penawaran 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak merangkumi 50,000 pekerjaan dalam sektor awam dan 30,000 pekerjaan dalam GLC dan rakan-rakan strategik mereka mulai Januari tahun hadapan.

“Kerajaan yakin strategi NEC dapat meneruskan momentum penciptaan pekerjaan, selaras dengan pemulihan dan pembukaan pelbagai sektor-sektor ekonomi.

Malah seterusnya menurut beliau, NEC juga akan berusaha menangani isu-isu berkaitan seperti kekurangan pekerja dalam sektor tertentu, kesaksamaan peluang untuk golongan rentan serta isu berkaitan penggajian.

“Perkembangan ini sekaligus dapat memperkasakan pendapatan isi rumah Keluarga Malaysia terutama kumpulan asnaf, B40 dan M40.

“Inisiatif ini amat penting selepas pelbagai sektor ekonomi dibuka, kerajaan memastikan mereka yang kehilangan pekerjaan dapat memulihkan penjanaan pendapatan isi rumah Keluarga Malaysia.

Menurutnya, beliau ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada kesemua Kementerian, Agensi Kerajaan dan GLC yang telah sama menyumbang kepada kejayaan penciptaan pekerjaan yang melangkaui sasaran pada tahun ini.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan