25.5 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

49 lagi kes baharu varian Omicron dikesan – Khairy

30 daripadanya adalah warganegara Malaysia yang baru tiba dari Arab Saudi pada 13 hingga 17 Disember lalu

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEBANYAK 30 warganegara Malaysia yang tiba di tanah air dari Arab Saudi pada 13 hingga 17 Disember lalu antara 49 kes baharu varian Omicron yang dikesan di negara ini sehingga semalam.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, daripada jumlah tersebut, 45 kes itu adalah hasil ujian PCR Genotyping Assay oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) ke atas 145 sampel kes positif Covid-19 dalam kalangan pengembara dari 15 Disember sehingga Selasa lalu.

Menurutnya, ujian dalam tempoh sama juga dijalankan Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti Universiti Malaysia Sarawak (IHCM-Unimas) seterusnya mengesan empat kes varian Omicron.

“Jumlah kumulatif kes yang dikesan varian Omicron di Malaysia kini adalah 62 kes.

“Daripada jumlah ini, 61 kes jangkitan import dari luar negara manakala satu kes lagi masih dalam siasatan yang disyaki berkemungkinan jangkitan tempatan,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Advertisements

Khairy berkata, selain 30 warganegara tersebut, kes-kes varian Omicron lain adalah ketibaan dari luar negara membabitkan United Kingdom, Qatar, Amerika Syarikat, Nigeria, Turki, Itali, Ghana dan Emeriah Arab Bersatu.

Beliau berkata, berikutan risiko penularan varian Omicron di seluruh dunia serta pengesanan varian itu di Malaysia, KKM bersama agensi lain telah mengambil tindakan memperketatkan kawalan di pintu masuk antarabangsa serta saringan ke atas golongan yang berisiko tinggi.

“Pengembara juga wajib memiliki keputusan RT- PCR yang negatif sebelum diberi pelepasan daripada kuarantin,” katanya.

Ujar beliau, empat makmal hospital di Semenanjung mempunyai kapasiti untuk menjalankan saringan varian iaitu Hospital Tuanku Jaafar di Seremban, Hospital Sultanah Bahiyah (Alor Setar), Hospital Sungai Buloh dan Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.

“Empat lagi hospital di Sarawak juga sudah memperkukuhkan kapasiti makmal dengan menjalankan saringan varian,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

MasChain perkenal ekosistem teknologi ‘blockchain’ di Malaysia

SYARIKAT pakar teknologi blockchain, Masverse Sdn. Bhd. melancarkan MasChain, platform transformatif yang direka untuk merevolusikan ekosistem digital bagi kerajaan,...

Lagi Artikel Berkaitan