24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Pas akan bertanding dalam PRN Sarawak – Tuan Ibrahim

Mesti Baca

KETIKA Bersatu, parti sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN) mengesahkan tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak bulan depan, Pas membuat keputusan sebaliknya.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa partinya akan menyertai PRN itu tetapi belum memutuskan jumlah kerusi yang akan ditandingi.

Bercakap kepada Harakah Daily, lidah rasmi parti itu semalam, Tuan Ibrahim berkata, kerusi-kerusi yang akan ditandingi Pas hanya dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan Pas Sarawak.

“Pas akan bertanding di Sarawak, dan memutuskan jumlah kerusi setelah perundingan dengan PAS Sarawak pada hujung minggu ini.

“Pas yakin pengundi Sarawak akan memberi undi kepada calon yang diturunkan terdiri daripada anak Sarawak dari pelbagai bidang kepakaran dan ketokohan,” dipetik sebagai berkata.

Keputusan Pas itu jelas bertentangan dengan Bersatu yang mengesahkan tidak akan menyertai PRN Sarawak, sebaliknya akan membantu memastikan kemenangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam pilihan raya itu.

Perkara itu disahkan oleh Presiden Bersatu yang juga merangkap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pagoh, Johor hari ini.

Advertisements

Muhyiddin berkata, langkah itu bagi menghormati pandangan dan permintaan GPS supaya parti tersebut diberi laluan dalam pilihan raya berkenaan.

Sementara itu, Tuan Ibrahim menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar lebih terbuka dalam kempen dan gerak kerja dalam PRN Sarawak berikutan liputan media sangat terbatas di negeri itu.

Beliau berkata, keadaan di Sarawak menyukarkan penggunaan media baharu dalam kempen.

Malah beliau juga dukacita dengan kenaikan mendadak tiket penerbangan ke Sarawak dan mengganggap perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

SPR memutuskan PRN Sarawak diadakan pada 18 Disember ini manakala penamaan calon dibuat pada 8 Disember bagi merebut 82 kerusi yang dipertandingkan.

PRN Sarawak sepatutnya dilangsungkan sebelum Ogos lalu kerana cukup tempoh satu penggal pemerintahan namun ditangguhkan menerusi perisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong berikutan pandemik COVID-19. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan