30.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Kadar pengangguran pada September turun 0.1 peratus

Kebenaran rentas negeri dan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara menyumbang pengurangan kadar pengangguran ini

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KADAR pengangguran di negara ini terus berkurangan kepada 4.5 peratus membabitkan 729,600 penganggur pada September lalu berbanding 4.6 peratus pada bulan sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata kedudukan tenaga buruh bertambah baik pada September dengan bilangan guna tenaga yang terus meningkat, manakala pengangguran dalam trend yang menurun.

Menurutnya, peralihan lebih banyak negeri ke fasa berikutnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) membenarkan lebih banyak aktiviti perniagaan untuk beroperasi, dengan waktu operasi perniagaan dilanjutkan.

“Kebenaran rentas negeri di kawasan Lembah Klang ditambah dengan pembukaan semula industri pelancongan domestik di negeri Terengganu dan Pulau Langkawi juga menggalakkan aktiviti ekonomi pada bulan dikaji.

“Semua situasi positif ini mendorong pasaran buruh untuk mendapatkan semula momentumnya dan kembali kukuh,” katanya dalam laporan Statistik Tenaga Buruh Malaysia.

Mohd Uzir berkata, kadar pengangguran pada September terus menyusut kepada 4.5 peratus setelah mencatatkan 4.6 peratus pada Ogos 2021. Justeru, bilangan tenaga buruh pada bulan dikaji berjumlah 16.19 juta orang, meningkat sebanyak 0.4 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Menurutnya, bilangan penduduk bekerja terus meningkat sebanyak 0.6 peratus bulan ke bulan mencatatkan 15.46 juta orang berbanding Ogos iaitu 15.38 juta orang.

“Nisbah guna tenaga kepada penduduk turut meningkat kepada 65.5 peratus daripada 65.2 peratus pada bulan sebelumnya.

“Sementara itu, bilangan penganggur merekodkan penurunan bagi bulan kedua iaitu sebanyak 2.6 peratus merekodkan 729,600 orang daripada 748,800 orang bulan sebelumnya,” katanya.

Mengikut sektor ekonomi, penduduk bekerja di sektor perkhidmatan terus mencatatkan peningkatan terutama dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit; perkhidmatan makanan & minuman; serta maklumat & komunikasi.

Advertisements

Mengenai situasi pengangguran pada September, Mohd Uzir berkata, penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan merangkumi 83.7 peratus daripada jumlah penganggur.

“Kumpulan ini berkurang sebanyak 2.6 peratus kepada 611,000 orang. Golongan yang menganggur kurang daripada tiga bulan merangkumi 54.6 peratus manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun adalah sebanyak 8.4 peratus.

“Sementara itu, kadar pengangguran belia bagi umur 15 hingga 24 tahun kekal pada 13.9 peratus pada bulan dikaji manakala kadar pengangguran bagi belia yang berumur 15 hingga 30 tahun turun sebanyak 0.3 mata peratus kepada 8.5 peratus berbanding bulan sebelumnya,” katanya.

Berdasarkan kedudukan pengangguran mengikut negeri, tujuh negeri merekodkan penurunan kadar pengangguran pada suku dikaji.

Kadar pengangguran terendah direkodkan oleh Wilayah Persekutuan Putrajaya (1.0 peratus), diikuti Melaka (3.0 peratus), Selangor (3.6 peratus), Negeri Sembilan (3.7 peratus) dan Pulau Pinang (3.7 peratus).

Secara keseluruhan, Mohd Uzir berkata, situasi semasa krisis kesihatan di negara ini didapati bertambah baik dengan jumlah kes harian COVID-19 menurun manakala bilangan yang lengkap divaksin semakin meningkat.

Pada Oktober, katanya, semua negeri berada dalam Fasa 3 dan Fasa 4 PPN, sekali gus membolehkan pergerakan penuh perjalanan rentas negeri.

“Pelonggaran sekatan ini menggalakkan lebih banyak aktiviti perjalanan di dalam negara seterusnya mewujudkan lebih banyak permintaan terhadap barang dan perkhidmatan,” katanya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan