28.2 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Gara-gara dimarah, remaja tergamak tikam abang

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

HANYA kerana dimarahi keluar rumah dengan menunggang motosikal tanpa pengetahuan keluarga, seorang remaja lelaki tergamak menikam abangnya sehingga cedera.

Bahkan, remaja berkenaan turut mencederakan rakan abangnya yang cuba meleraikan pergaduhan mereka di pangsapuri di Taman Putra Damai, Kelana Jaya, Selangor semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, polis menerima maklumat kejadian pergaduhan pada 12.08 tengah hari.

“Sepasukan polis yang tiba di lokasi mendapati kejadian membabitkan tiga lelaki. Seorang lelaki berusia 24 tahun terbaring di lantai dalam keadaan luka dan berdarah di bahagian dada kiri serta perut.

“Manakala mangsa kedua berusia 19 tahun iaitu rakan kepada mangsa pertama sedang duduk di kerusi dalam keadaan cedera di bahagian belakang badan.

“Suspek pula duduk di kerusi berhampiran mangsa pertama iaitu abangnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, polis menemui pisau lipat di lokasi dan kedua-dua mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, berdasarkan maklumat saksi kejadian, mangsa kedua cuba meleraikan pergaduhan antara dua beradik itu namun turut terkena pisau lipat yang dipegang suspek.

“Pergaduhan berlaku apabila abang berang terhadap adiknya yang keluar rumah dengan menunggang motosikal tanpa pengetahuan kakak mereka,” katanya.

Mohamad Fakhrudin berkata, semakan mendapati suspek tidak bersekolah dan mempunyai rekod lampau berkaitan kes curi.

“Suspek akan ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

-EDISI9

Terkini

Piala Asia B23: Harimau Muda gagal jinakkan Uzbekistan

HASRAT skuad Harimau Muda negara untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata daripada juara edisi 2018, Uzbekistan gagal apabila ditundukkan 0-2...

Lagi Artikel Berkaitan