MAJLIS Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menjadi wakil Malaysia sebagai tuan rumah bagi penganjuran Festival Cerita Rakyat Belia Asia Pasifik Pertama bermula 21 sehingga 26 September ini.
Datuk Bandarnya Mohamad Azhan Md Amir berkata, festival kesenian rakyat yang akan berlangsung di Pusat Bandar Seksyen 52, Petaling Jaya itu dijangka dihadiri 20,000 peserta dan pengunjung sepanjang festival berlangsung.
Sebanyak 26 negara Asia Pasifik telah dijemput untuk menyertai festival ini di mana 13 daripadanya sudah pun mengesahkan penyertaan mereka.
“Negara yang terbabit adalah China, India, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Thailand, Iran, Filipina, Singapura, Uzbekistan, Sri Lanka, Qatar dan Brunei,” katanya pada majlis prapelancaran acara berkenaan, baru-baru ini.
Beliau berkata, festival bertemakan ‘Menghayati Budaya dan Warisan’ itu akan diisi dengan lapan aktiviti termasuk konsert yang menampilkan barisan artis terkenal tanah air.
“Antara program yang kita sudah atur ialah persembahan kebudayaan antarabangsa, seminar kerjaya seni, Persidangan Seni Antarabangsa PJ 2023, persembahan di lima buah sekolah terpilih dan pelbagai lagi.
“Pada acara malam konsert kita akan menampilkan barisan artis terkenal tanah air seperti Datuk Hattan, Ziana Zain, Ella dan Datuk Awie,” katanya.
Konsert berkenaan dianjurkan secara percuma dan berlangsung pada 24 September, jam 8.30 malam di Laman MBPJ, Jalan Yong Shook Lin, Petaling Jaya.
Mohamad Azhan berkata, penganjuran festival ini bertujuan menzahirkan rasa cinta terhadap keunikan budaya, seni dan warisan dalam memupuk keharmonian dan perpaduan masyarakat global.
“Pengunjung yang hadir berperanan sebagai jurucakap di mana sudah pasti mereka akan berkongsi pengalaman menarik di festival ini kepada masyarakat di luar.
“Ini sekali gus memperkukuhkan lagi imej Petaling Jaya sebagai kota seni dan destinasi pelancongan,” katanya.
Terdahulu, pada 2015, Kerajaan Negeri telah mengisytiharkan banda raya Petaling Jaya sebagai kota seni selaras dengan komitmen MBPJ sebagai destinasi pelancongan melalui penganjuran PJ International Folklore Festival yang diadakan sejak 2013. -Edisi 9