24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Bajet 2022 tidak pinggirkan Sabah dan Sarawak

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Kewangan (MOF) memaklumkan, Kerajaan Persekutuan amat menitikberatkan pembangunan dan kesejahteraan rakyat di kesemua negeri termasuk di Sabah dan Sarawak khususnya dalam Bajet 2022.

MOF menerusi satu kenyataan berkata, setakat ini, rakyat Sabah dan Sarawak telah memanfaatkan pelbagai bantuan-bantuan lain seperti bantuan tunai, program subsidi upah serta pelbagai program pekerjaan seperti carian pekerjaan, latihan dan peningkatan kemahiran.
Malah, katanya, bantuan seperti itu akan diteruskan di bawah Bajet 2022.

Menurutnya, perangkaan Bajet 2022 amat menitikberatkan pembangunan dan kesejahteraan kesemua rakyat, tanpa mengira negeri atau kaum, berdasarkan keperluan masing-masing.

“Ia penting agar semua rakyat bakal membangun dan mengecapi kemakmuran terutama sekali apabila negara kini berada di ambang pemulihan dan perkembangan ekonomi.

“Pelbagai manfaat Bajet 2022 diumumkan termasuk peningkatan peruntukan perbelanjaan pembangunan (DE) bagi Sabah dan Sarawak,” katanya hari ini.

Menurut kenyataan berkenaan, sebanyak RM5.16 bilion diperuntukkan untuk Sabah iaitu tambahan RM104 juta berbanding 2021 manakala, Sarawak pula sebanyak RM4.67 bilion iaitu peningkatan sebanyak RM158 juta.

Menurutnya, jumlah peruntukan DE Sabah dan Sarawak bagi tahun 2022 adalah lebih 20 peratus daripada jumlah peruntukan DE untuk kesemua negeri.

“Perbelanjaan DE ini termasuk peruntukan sebanyak RM2 bilion bagi Projek Lebuhraya Pan Borneo iaitu meneruskan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sabah daripada Sindumin ke Rampayan Laut dan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak daripada Semantan ke Jalan Pujut Link,” katanya.

Advertisements

Menurutnya lagi, peruntukan lain termasuk pembayaran Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak dimana kedua-dua negeri itu kekal sebagai penerima terbesar iaitu lebih 30 peratus daripada jumlah pemberian kepada kesemua kerajaan negeri.

“Selain itu, perluasan perlindungan PERKESO kepada Sembilan kategori baharu iaitu artis, penjaja, perikanan, pertanian, sektor perlancongan, OKU, orang Asli, Orang asal Sabah dan Sarawak dan penyelia serta pertugas Pemulihan Dalam Komuniti.

“Program pendidikan kepada anak-anak Bumiputera Sabah dan Sarawak berkenaan budaya dan warisan dengan peruntukan sebanyak RM10 juta.

Menurut kenyataan berkenaan lagi, tambahan 20 lagi perkhidmatan bank bergerak dijangka mula beroperasi merangkumi 250 kawasan dan mukim di luar bandar terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, Bajet 2022 juga bakal digunakan bagi menaik taraf sekolah daif melibatkan peruntukan sebanyak RM746 juta.

“Daripada jumlah 330 projek menaik taraf sekolah daif itu, sebanyak 112 projek akan dilaksanakan di Sabah selain 165 projek di Sarawak,” katanya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan