24.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

20 awak-awak, jurumudi ditahan positif dadah

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SERAMAI 20 individu terdiri daripada awak-awak dan jurumudi dikesan positif dadah dalam Ops Bersepadu yang dijalankan pihak berkuasa di perairan Mersing.

Serbuan itu dilaksanakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Mersing.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, operasi berkenaan dilakukan berikutan pihak berkuasa menerima aduan-aduan awam serta maklumat mengenai penglibatan jurumudi bot penumpang dan bot nelayan tempatan dalam aktiviti penyalahgunaan barang terlarang ketika melakukan aktiviti di laut.

Katanya, operasi melibatkan komuniti maritim di sekitar dan perairan Mersing itu dilakukan selama tiga hari bermula 13 November hingga semalam.

“Pemeriksaan secara rawak dilakukan ke atas 89 individu termasuk 23 warga Indonesia berusia antara 20 tahun hingga 60 tahun dalam operasi selama tiga hari itu.

“Daripada jumlah itu, seramai 20 warga tempatan berusia 23 hingga 50 tahun didapati positif dadah jenis methamphetamine, ganja dan opiat.

Advertisements

“Kesemua mereka telah diberi jaminan bersyarat oleh AADK dengan mewajibkan hadir lapor diri di pejabat AADK pada hari yang ditetapkan untuk siasatan dan tindakan lanjut,”katanya dalam kenyataan media hari ini.

Khairul Nizam berkata, operasi berkenaan akan diteruskan dari semasa ke semasa demi membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah dalam kalangan komuniti maritim juga meningkatkan aktiviti perusahaan perlancongan yang selamat di perairan negeri Johor.

Katanya, Maritim Malaysia juga menegaskan kepada seluruh komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang dan sekiranya gagal tindakan sewajarnya akan dikenakan.

“Komuniti maritim juga mestilah mematuhi peraturan keselamatan dilaut agar kejadian tidak diingini berlaku ketika melakukan pelbagai aktiviti di laut terutama pada musim tengkujuh.

“Sebarang aduan jenayah dan kecemasan perlu segera hubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan