25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Dulu maruku, kini Kerteh FC keluarkan beras

Hasil kerjasama dengan syarikat pengeluar beras Yacob Tahir Enterprise Sdn Bhd

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

JIKA sebelum ini Kerteh FC memasarkan produk-produk pengusaha kecil seperti maruku dan daging perap, kini kelab bola sepak komuniti itu mengorak langkah memasarkan beras pula di pasaran.

Ia hasil kerjasama dengan pengeluar beras tempatan, Yacob Tahir Enterprise Sdn Bhd melalui pelancaran beras Premium Super Import Cap Buah-buahan hari ini.

Presiden Kerteh FC, Mohd Razeman Mat Nashim berkata, melalui kerjasama itu Yacob Tahir akan memperkukuhkan jenama Kerteh FC selain sebagai salah satu sumber kewangan baharu bagi kelab tersebut.

Beliau berkata, beras Super Premium Cap Buah-Buahan itu akan mula dipasarkan di sekitar daerah Kemaman dan Dungun, Terengganu sebelum memasuki pasaran di sekitar Pantai Timur.

“Kami berharap kerjasama dengan Yacob Tahir Enterprise akan dipertingkatkan lagi pada masa hadapan memandangkan syarikat itu bukan sahaja mengeluarkan beras tetapi ada juga beberapa produk barangan keperluan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa majlis pelancaran beras Premium Super Import Cap Buah-buahan itu di pejabat KAL Services Sdn Bhd, pemilik kelab tersebut di Kertih, Terengganu hari ini.

Turut sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yacob Tahir Enterprise Sdn Bhd, Mohamad Adam Suffian Yacob.

Beras tersebut akan mula dijual di pasaran sekitar Kertih dan Kemasik mulai hari ini.

Razeman berkata, di bawah perjanjian yang dimeterai sejak Oktober tahun lalu, beras tersebut akan menggunakan warna rasmi dan elemen-elemen Kerteh FC pada bungkusan dan kenderaan pengangkutannya bagi tujuan pengiklanan dan komersial.

Manakala logo beras Cap Buah-Buahan pula akan diletakkan pada lengan jersi utama Kerteh FC, yang kini beraksi dalam saingan M4 Liga Malaysia.

Sementara itu, Mohamad Adam berkata, pihaknya yakin dengan kekuatan jenama Kerteh FC yang merupakan sebuah kelab yang sedang membangun.

Selain itu, katanya, Kerteh FC juga mempunyai nilai komersial tambahan di pasaran apatah lagi ia adalah antara pasukan bola sepak komuniti yang sedang mencipta nama ketika ini.

“Sebelum ini pasaran beras cap buah-buahan kami hanyalah tertumpu di daerah Setiu, Besut (Terengganu), Bachok dan Pasir Putih (Kelantan) sahaja.

“Dengan kerjasama ini, kami bertambah yakin untuk membawa jenama beras kami ke pasaran yang lebih luas,” katanya.

Mohamad Adam juga berharap dapat memanfaatkan pemasaran melalui medium sukan bola sepak yang kini telah menjadi satu trend baharu kepada pengusaha kecil dan sederhana (PKS).

“Kami percaya hubungan keusahawanan dan perniagaan dalam industri sukan dapat membuka jalan yang lebih luas kepada mana-mana IKS dalam mengembangkan perniagaan mereka.

Yacob Tahir Enterprise Sdn Bhd ini telah beroperasi sejak 1981 manakala Kerteh FC yang ditubuhkan sejak 2018 di bawah KAL Services.

-EDISI9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan