26.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Pemimpin UMNO usah jadi ‘kamikaze’, burukkan nama parti

Mesti Baca

CYBERJAYA – Para pemimpin UMNO diingatkan agar tidak menjadikan diri mereka ‘kamikaze’ demi mengejar jawatan ketika rakyat sedang susah ekoran pandemik yang berpanjangan.

Peringatan itu disuarakan Pensyarah Kanan Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Mohd Sadad Mahmud, yang agak bimbang dengan situasi yang berlaku di Melaka.

Menurut beliau, pada masa kini bukanlah waktu sesuai untuk para pemimpin berkenaan melakukan tindakan ‘berani mati’ termasuk menarik sokongan terhadap pemimpin negeri dari parti sendiri.

Ini kerana, tegas beliau, ia sudah tentu tidak disenangi oleh rakyat dan boleh membawa kesan tidak baik kepada parti menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang tidak lama lagi.

“Sepatutnya para pemimpin ini kena bersabar dan tunggu sehingga pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Apa yang berlaku di Melaka jelas boleh memberikan persepsi buruk bukan sahaja terhadap kepimpinan UMNO negeri, malah kepada parti itu keseluruhan,” katanya kepada Edisi 9 hari ini.

Beliau mengulas kemelut politik yang berlaku di Melaka apabila empat ADUN pro-kerajaan menarik balik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan kerajaan negeri itu.

Mereka terdiri daripada bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (BN – Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN – Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu – Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas – Pengkalan Batu).

Susulan itu, kerajaan Melaka yang dipimpin Barisan Nasional (BN) sejak Mac tahun lalu bakal tumbang dan Pakatan Harapan (PH) dijangka akan kembali memerintah negeri itu.

Mohd Sadad berkata, Idris tidak sepatutnya bertindak sedemikian kerana beliau jelas melanggar nasihat Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan agar semua pihak bekerjasama demi kepentingan rakyat dan negara.

Apatah lagi, katanya, kerajaan Pusat di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan PH telah menandatangani perjanjian persefahaman baru-baru ini.

“Sepatutnya jika ada yang tidak berkenan di hati berhubung kepimpinan Sulaiman, Idris cukup hanya meletakkan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri dan menjadi wakil rakyat biasa.

“Dengan cara ini beliau sudah tentu lebih dihormati kerana semua orang tahu agak sukar bagi seorang bekas ketua menteri bekerja di bawah ketua menteri lain yang dahulunya menjadi bawahan beliau,” katanya.

Mohd Sadad yang juga pemerhati politik turut menegur pucuk pimpinan Bersatu dan UMNO yang saling mengeluarkan kenyataan provokatif berhubung kerjasama kedua-dua parti berkenaan,

Katanya, pemimpin UMNO tidak sewajarnya membalas kenyataan dibuat Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang parti itu akan membuat pembahagian kerusi antara parti Perikatan Nasional (PN) tanpa BN.

Lagi pun, katanya, UMNO sudah pun membuat keputusan baik di peringkat Majlis Tertinggi mahupun Perhimpunan Agung parti mengenai kerjasama tersebut.

“Lebih baik masing-masing diam dan menunggu sehingga Parlimen dibubar. Buat masa sekarang kedua-dua pihak sebaiknya menumpukan usaha membantu rakyat,” katanya.

“Mereka harus ingat UMNO dan BN telah ditolak oleh pengundi pada PRU yang lalu, dan mereka hilang kuasa di peringkat Pusat selama 22 bulan dan berkongsi kuasa selama 17 bulan.

“Kini UMNO sudah kembali memimpin negara, jadi seharusnya para pemimpin parti perlulah menjaga tingkah, elakkan perpecahan di peringkat pemimpin dan utamakan rakyat,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan