31.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Kerajaan cadang tubuh unit khas bagi basmi kemiskinan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN bercadang untuk menubuhkan unit khas bagi membasmi kemiskinan, sebagai sebahagian langkah ‘bottom-up approach’ untuk membantu golongan miskin dan miskin tegar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sekiranya cadangan itu diluluskan, beberapa pegawai di peringkat pusat akan ditugaskan semula untuk penubuhan unit tersebut.

Tambahnya lagi, beliau juga mengharapkan apabila unit itu direalisasikan, Kerajaan Negeri serta Daerah dapat melakukan perkara yang sama, supaya agenda membasmi kemiskinan itu dapat dilakukan dengan lebih holistik.

“Antara cadangan (yang diterima) supaya kita memberi perhatian lebih kepada miskin tegar. Di Pusat, kita akan melalui penugasan semula pegawai, dan akan menubuhkan sebuah unit (membasmi) kemiskinan di peringkat pusat.

“Kita berharap negeri dan daerah dapat mengambil tindakan yang sama. Dan kita juga harap lebih banyak lagi pencekatan, atau bottom up approach dapat dilakukan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Zakaria Mohd Edris @ Tubau (Bersatu – Libaran) di Dewan Rakyat hari ini, lapor Sinar Harian.

Terdahulu, Zakaria ingin mengetahui langkah Kerajaan utnuk menangani isu 20 peratus isi rumah M40 yang beralih kepada had pendapatan di bawah kumpulan B40, akibat impak Covid-19.

Menjawab soalan itu, Mustapa berkata, berdasarkan kajian Jabatan Perangkaan, pendapatan purata isi rumah pada 2020 telah menurun sebanyak 10.3 peratus, dengan lebih 600,000 isi rumah M40 telah beralih kepada B40.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Jeli itu berkata, biarpun kerajaan lebih mensasarkan B40, beberapa langkah dan strategi juga telah digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan hidup golongan B40 dan M40.-Edisi 9

Terkini

Pengawal keselamatan dituduh bunuh anak berusia 6 bulan

SEORANG pengawal keselamatan yang sebelum ini disyaki mendera bayinya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas...

Lagi Artikel Berkaitan