25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Hayati semangat Keluarga Malaysia – Sultan Nazrin

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

TIMBALAN Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyeru rakyat supaya menghayati semangat Keluarga Malaysia yang diketengahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Memetik laporan Utusan Malaysia, dalam titah istiadat mengucap selamat berangkat, baginda bertitah perkataan keluarga mempunyai konotasi saling membantu, saling menghormati, saling berkunjung, saling berinteraksi, saling berhubung, saling berdialog, saling memberi dan saling menerima serta saling bermaaf-maafan dalam suasana mesra dan berkasih sayang iaitu komponen-komponen yang melukiskan keharmonian.

“Semakin besar saiz keluarga, semakin kompleks cabaran yang dihadapi, kerana bilangan ahli keluarga yang ramai semestinya dikembari dengan suara yang semakin banyak, selera yang semakin rencam dan keperluan yang semakin pelbagai.

“Keluarga Malaysia ialah keluarga yang besar. Menjadi ketua kepada sebuah keluarga besar memerlukan kesabaran, keupayaan, tumpuan dan kegigihan untuk melaksanakan seadil-adil perimbangan kepada seluruh ahli keluarga secara bijaksana,” titahnya di Dewan Seri Bendahara, Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini.

Titahnya, masyarakat Melayu turut mengutamakan ikatan persaudaraan dalam semangat kekeluargaan seperti yang terserlah dalam bidalan Melayu, ‘Biduk berlalu kiambang bertaut’, ‘Carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum juga’, ‘Air dicencang tidakkan putus’.

“Semangat kekeluargaan turut membentuk budaya menghargai orang-orang terdahulu yang pernah berjasa, dan budaya tidak bersifat kacang lupakan kulit,” titahnya.

Pada masa sama, baginda juga menyifatkan bermusyawarah dan bersyura merupakan tradisi dan amalan takhta dan kerajaan Raja-raja Melayu.

“Dalam semangat bermusyawarah dan bersyura itulah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong daripada masa ke masa mempersilakan kehadiran Raja-raja Melayu berangkat ke Istana Negara pada waktu baginda berhasrat mendapatkan nasihat dan pandangan.

“Apatah lagi jika sesuatu urusan itu boleh menyentuh kuasa Raja Pemerintah di negeri; dengan kesedaran bahawa Yang di-Pertuan Agong itu secara harfiahnya bermaksud ‘Dia Yang Terulung Di Kalangan Kami’ iaitu, ‘primus inter pares’. Baginda bersemayam di takhta kerajaan persekutuan, mewakili Raja-Raja Melayu,” titahnya.

Namun, baginda bertitah, dalam hasrat menyemarakkan semangat Keluarga Malaysia, amatlah penting diberikan keyakinan bahawa setiap warga ada tempat dalam keluarga besar Keluarga Malaysia.

“Amalkan budaya terbuka, bersedia menerima perbezaan pendapat dan kelainan pandangan, begitu juga menghargai perbezaan pendekatan dan kaedah, agar tercapai nanti secara konsensus pendapat, pandangan, pendekatan dan kaedah terbaik untuk manfaat negara dan warga.

Advertisements

“Suara yang berbeza sewajarnya diberi ruang untuk boleh diluahkan kerana rintihan hati yang dikurung berpotensi menyalakan bara marah dan mengalirkan lava dendam yang lebih volkano sifatnya,” titahnya.

Sultan Nazrin yang akan menamatkan tempoh tugas-tugas sebagai Ketua Utama Negara pada 12 tengah malam nanti, turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Ismail Sabri.

Titahnya, sepanjang tempoh memenuhi amanah tersebut, selain daripada sesi menghadap sebelum berlangsungnya mesyuarat Jemaah Menteri, Perdana Menteri turut mengadakan beberapa sesi menghadap, untuk menyembah maklum, berbincang, bertukar pandangan dan memohon panduan juga nasihat mengenai urusan-urusan negara, dalam semangat kekeluargaan.

“Dalam kesibukan tugas, masih bersedia meruang masa meraikan beta untuk mengadakan istiadat selamat berangkat dalam semangat pergi berkhabar, pulang berberita.

“Semoga Allah senantiasa melimpahkan nur penyuluh membantu Yang Amat Berhormat melakukan yang makruf, dan mendirikan dinding penghalang daripada dipengaruhi melakukan yang mungkar, semoga Yang Amat Berhormat dikurniakan hidayah dan kekuatan ketika dihempas badai ujian dan disemaikan rasa syukur dan takwa ketika berada di puncak kejayaan,” titahnya.

Baginda juga mengajak Ismail Sabri supaya melawat negeri Perak, memandangkan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin berasal dari negeri baginda.

“Memandangkan isteri Yang Amat Berhormat ialah rakyat Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, intai-intailah kami di negeri Perak, kalau ada kupang yang lebih, hendaknya ada juga bahagian untuk negeri Perak,” titahnya.

Baginda juga menyampaikan salam terima kasih kepada ahli-ahli jemaah menteri yang telah memberikan perhatian kepada titah-titah yang Beta zahirkan melalui Perdana Menteri.

“Beberapa orang menteri telah mengambil tindakan susulan, ada yang menghadap Beta untuk menyembah maklum balas. Beta menzahirkan penghargaan kepada Ketua Setiausaha Negara dan pegawai-pegawai kerajaan yang membantu Beta dengan membekalkan maklumat serta menyembah nasihat sebelum Beta memperkenankan sesuatu keputusan, begitu juga kepada para pegawai dan petugas Istana Negara yang telah memudahkan Beta menyempurnakan tugas dalam tempoh masa Beta diamanahkan tanggungjawab Kepala Utama Negara.

“Semoga hubungan harmoni terus terjalin antara Istana Negara dan Putrajaya dalam semangat saling memahami, saling menghormati,” titahnya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan