32 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 16, 2024

Vaksinasi untuk remaja bermula minggu depan – Khairy

Mesti Baca

CYBERJAYA – Program vaksinasi untuk remaja 12 hingga 17 tahun akan dimulakan minggu depan dengan Sarawak sebagai perintis, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata, Sarawak dipilih untuk memulakan program vaksinasi untuk remaja memandangkan negeri itu sudah mencapai nilai ambang 80 peratus penduduk sudah divaksin.

Menurut beliau, pihaknya menetapkan menjelang sesi persekolahan tahun depan, semua remaja berkenaan sudah lengkap menerima vaksin masing-masing.

“Dalam tempoh 100 hari, kita akan mula vaksinasi bagi golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun. Sasaran (jumlah penerima) kita akan umumkan berdasarkan bekalan vaksin tetapi sudah pasti kita akan berikan vaksin kepada golongan ini.

“Ia bermula minggu depan di negeri Sarawak dahulu sebab mereka sudah capai nilai ambang 80 peratus.

“Harapan saya dalam 100 hari ini, seramai mungkin remaja akan dapat terima vaksin mereka supaya awal tahun persekolahan nanti remaja kita sudah lengkap terima vaksin mereka,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Khairy bercakap demikian dalam temu bual khas mengenai penunjuk prestasi utama (KPI) 100 hari Kementerian Kesihatan (KKM) di bawah pentadbiran beliau di Putrajaya hari ini.

Program vaksinasi kepada golongan remaja adalah antara lebih 20 KPI yang ditetapkan oleh beliau dan KKM untuk dicapai dalam tempoh 100 hari di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Khairy berkata, KPI itu, yang kebanyakannya berkisar kepada usaha menangani ancaman pandemik Covid-19, adalah bagi memastikan persiapan dan peralihan ke arah sasaran itu dilaksanakan dengan cara terbaik.

“Fokus kita ialah memastikan rakyat dapat memahami norma baharu dengan baik apabila memasuki fasa endemik.

“Bagaimanapun, KKM juga takkan sesekali meninggalkan hal-hal kesihatan yang lain (bukan berkaitan Covid-19),” katanya.

Selain vaksinasi, KKM akan memberi perhatian dari sudut rawatan penghospitalan pesakit Covid-19.

Katanya, dalam tempoh 100 hari, KKM juga bertekad mengurangkan jumlah penggunaan katil bagi pesakit Covid-19 membabitkan Unit Rawatan Rapi (ICU) dan bukan ICU.

“Kita akan pastikan peratusan penggunaan katil ICU untuk Covid-19 adalah kurang 70 peratus manakala katil bukan ICU bagi kes Covid-19 kurang 50 peratus,” katanya.

Terkini

MQA saran IPT lahirkan lebih ramai profesor praktis

KUALITI pendidikan tinggi negara akan terus meningkat dengan melahirkan lebih ramai 'professor of practice' atau profesor praktis. Ketua Pegawai Eksekutif...

Lagi Artikel Berkaitan