25.4 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Tindakan Muhyiddin berjaya percepat proses vaksinasi rakyat

Pada awalnya kerajaan menjangkakan sasaran vaksinasi 80% populasi dewasa itu dicapai pada suku pertama tahun hadapan.

Mesti Baca

CYBERJAYA – Tindakan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membayar pendahuluan RM400 juta untuk mendapatkan vaksin walaupun bekalan belum ada dianggap satu keputusan yang tepat.

Ketua Setiausaha Sulit beliau, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata, keputusan dibuat Muhyiddin itu membolehkan negara mendapat bekalan vaksin lebih awal dan mencukupi sehingga berjaya mencapai sasaran vaksinasi 80 peratus populasi dewasa dengan cepat.

Menurut beliau, pada awalnya kerajaan menjangkakan sasaran vaksinasi 80 peratus populasi dewasa itu dicapai pada suku pertama tahun hadapan.

Namun oleh kerana masalah penularan COVID-19 semakin kritikal, dengan kes meningkat begitu tinggi, kerajaan memutuskan agar kita mempercepatkan proses vaksinasi.

“Jadi hendak mempercepatkan proses vaksinasi ini ada dua aspek. Pertama, kita kena pastikan bekalan yang mencukupi. Kerana bekalan ini bukan kita beli hari ini sejuta, esok sampai sejuta.

“Kita beli sekitar 80 juta dos vaksin dengan jadual penghantaran yang telah ditetapkan. Dalam 3 bulan ke hadapan, 6 bulan ke hadapan baru sampai,” kata beliau dalam wawancara khas bersama Ikatan.my, baru-baru ini.

Muhyiddin Yassin meninjau Pusat Pemberian Vaksin Covid-19 di MITEC Kuala Lumpur.

Marzuki berkata, Muhyiddin ketika itu selaku Perdana Menteri telah membuat keputusan di peringkat awal melalui fasiliti COVAX di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang membekalkan vaksin.

Katanya, untuk mendapatkan bekalan tersebut, negara perlu membayar wang pendahuluan sebagai tempahan mendapatkan vaksin padahal bekalan masih belum ada.

“Kalau kita tengok dari segi kebiasaannya, kita tidak buat perkara seperti itu. Kita hendak beli barang, barang itu mesti ada dahulu, baru kita beli.

“Tetapi kalau kita tunggu barang itu ada dahulu baru hendak beli, sedangkan barang itu adalah hot item (barang laris), dan kita lambat membuat pesanan, penghantarannya boleh tertangguh sehingga empat, lima atau enam bulan.

“Akan berlaku keadaan di mana kita sepatutnya sudah boleh mulakan program vaksinasi tetapi kita tidak boleh mula lagi sebab vaksin tidak sampai,” katanya.

Justeru, beliau menjelaskan, Muhyiddin telah membuat keputusan untuk membayar wang pendahuluan sebanyak RM400 juta walaupun vaksin masih belum ada.

“(Muhyiddin) Tawakkal. Kenapa? Kerana ini soal hendak menjaga nyawa rakyat. Jadi, Pfizer kita beli, Sinovac kita beli, Sinopharm kita beli. Whatever available (apa yang tersedia) kita tempah, kita beli,” kata beliau.

Marzuki berkata, walaupun bayaran pendahuluan dan tempahan telah dibuat namun kadang kala jadual penghantaran terganggu sedangkan kerajaan ketika itu sudah menetapkan sasaran 200,000 atau 500,000 suntikan sebulan.

“Kalau bekalan vaksin tidak sampai kita hendak cucuk macam mana? Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ada, kakitangan ada, tetapi vaksin tidak ada.

“Jadi perkara ini dibincang dalam Kabinet. Kadang-kadang dibawa Kertas Jemaah Menteri untuk memohon kelulusan bagi pembelian vaksin tambahan.

“Tengok mana yang ada. Pfizer lambat sampai, Sinovac ada, beli Sinovac. Ini untuk memastikan supaya jadual vaksinasi tidak terganggu. Jadi kerana itu, daripada asalnya kita hendak mencapai sasaran herd immunity (imuniti kelompok) pada suku pertama tahun hadapan, kini kita boleh capai lebih awal,” katanya.

Beliau berkata, pencapaian negara hari ini hampir berjaya keluar daripada pandemik COVID-19 adalah hasil strategi kerajaan sebelum ini yang mempercepatkan proses vaksinasi.

We must have an exit plan (kita mesti ada jalan keluar) dari masalah pandemik. Exit plan ini telah dirancang lebih awal. Kerana itu kita ada Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Kita sudah letakkan fasa-fasa peralihan, nilai ambang dan sebagainya. Tengok dari segi kapasiti katil hospital, tengok dari segi jumlah kes harian, death rate (kadar kematian), immunisation rate (kadar imunisasi) dan lain-lain.

“Kerana itu, hari ini kita telah dapat lihat hasil daripada strategi kita mempercepatkan proses vaksinasi,” katanya. – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan