28.2 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Nafuzi bakal tinggalkan Terengganu FC?

Mesti Baca

KETUA Jurulatih Terengganu FC, Mohd Nafuzi Zain akan meninggalkan kelab tersebut setelah menerima surat tunjuk sebab ekoran prestasi merudum skuad Penyu di penghujung musim.

Itu gambaran para peminat dan penyokong kelab Pantai Timur itu susulan tular sekeping gambar dengan keterangan seolah-olah beliau mahu meninggalkan kelab tersebut dan sedia berkelana ke negeri lain.

Bagaimanapun Terengganu FC tampil memperbetulkan tanggapan tersebut dan mengesahkan pihaknya tidak bercadang untuk merehatkan Nafuzi menjelang baki satu lagi perlawanan penutup musim serta mengharungai Piala Malaysia selepas ini.

“Berkenaan ada berita yang menyatakan pihak pengurusan telah bersetuju untuk merehatkan pengendali pasukan Terengganu FC pada ketika ini dan beliau mungkin akan berkelana ke kelab baru adalah tidak benar.

“Ia dilihat berita yang sengaja direka dan boleh menjejaskan fokus pasukan serta boleh mengakibatkan prestasi dan kedudukan makin merudum.

“Pihak pentadbiran turut bimbang perkara ini bakal menjejaskan proses kerjasama penajaan dengan rakan-rakan penaja yang berpotensi untuk musim hadapan,” kata Terengganu FC dalam kenyataan malam tadi.

Bagaimanapun Terengganu FC tidak menafikan bahawa pihaknya telah memberikan surat tunjuk sebab kepada Nafuzi tetapi menganggap itu perkara biasa untuk mengetahui sebab-sebab kemerosotan prestasi.

“Semestinya pihak pengurusan perlu sentiasa tegas dan bertanggungjawab dalam memastikan pasukan sentiasa berusaha untuk berada di landasan betul mengikut target yang telah ditetapkan.

“Pihak pengurusan perlu mendapat maklum balas serta alasan berkenaan prestasi semasa secara bertulis oleh pengendali pasukan untuk mengetahui masalah yang dihadapi yang menyebabkan prestasi pasukan kurang memuaskan untuk beberapa perlawanan terakhir.

“Ini bagi membolehkan pihak pengurusan dan pasukan mencari jalan mengatasi masalah yang timbul setidak-tidaknya bagi baki satu perlawanan lagi,” kata kenyataan itu.

Terengganu FC akan berdepan Penang FC pada perlawanan terakhir liga pada 12 September ini dan perlu menewaskan skuad Harimau Kumbang itu bagi mencerahkan berpeluang menjadi naib juara Liga Super.

Pada masa kini Terengganu FC berada di tangga keempat liga di belakang JDT, Penang FC dan KDA dengan 37 mata hasil 11 kemenangan, 4 seri dan 6 kekalahan. – Edisi 9

Terkini

Piala Asia B23: Harimau Muda gagal jinakkan Uzbekistan

HASRAT skuad Harimau Muda negara untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata daripada juara edisi 2018, Uzbekistan gagal apabila ditundukkan 0-2...

Lagi Artikel Berkaitan