CYBERJAYA – Tiga negeri yang sebelum ini masih merekodkan peratusan populasi dewasa bagi dos kedua suntikan vaksin COVID-19 dibawah 50 peratus, semakin menuju ke arah mencapai 50 peratus.
Tiga negeri terbabit terdiri, Sabah dengan 45.2 peratus; Kelantan (49.1 peratus) dan Kedah (49.7 peratus).
Dapat dilihat ketiga-tiga negeri terbabit menunjukkan perkembangan positif dalam merekodkan peratusan populasi dewasa bagi dua dos, melihat kepada liputan vaksinasi yang meluas dilaksanakan negara ketika ini.

Semalam sahaja, sebanyak 36,745, 313 jumlah kumulatif pemberian dos vaksin COVID-19 telah diberikan kepada rakyat Malaysia.
Daripada jumlah itu, seramai 16,107,712 individu telah lengkap menerima suntikan dua dos atau bersamaan 68.8 peratus populasi dewasa (49.3 peratus populasi keseluruhan).

Manakala, seramai 20,677, 827 individu telah menerima sekurang-kurangnya suntikan dos pertama atau bersamaan 88.3 peratus populasi dewasa (63.3 peratus populasi keseluruhan.
Sehingga 6 September 2021, jumlah harian pemberian dos vaksin COVID-19 adalah sebanyak 313,751 dos.
Daripada jumlah itu, seramai 132,640 individu menerima suntikan dos pertama manakala seramai 181,111 individu telah melengkapkan vaksinasi mereka di bawah Program Imunisasi COVID -19 Kebangsaan (PICK). – Edisi 9