32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Dasar pengambilan pelajar ke MRSM kekal – Mahdzir

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KUALA NERANG  – Dasar pengambilan pelajar ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dikekalkan dan cadangan perubahan yang diumumkan sebelum ini tidak akan diguna pakai.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, semua pelajar tanpa mengira aliran berhak mendapat peluang untuk kemasukan ke MRSM atas semangat Keluarga Malaysia.

“Saya hendak tegaskan bahawa dasar dan syarat kemasukan ke MRSM kita kembalikan kepada syarat asal seperti sebelum ini bagi memberi peluang kepada semua pelajar untuk memohon.

“Kelayakan dan pemilihan pelajar pula dibuat berdasarkan kepada Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) yang menguji kecenderungan STEM serta keperibadian pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyerahan Sumbangan Amal Pelitawanis TNB di Hospital Kuala Nerang di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, dasar 10 peratus pengambilan pelajar bukan bumiputera juga kekal dan tiada sebarang perubahan selaras dengan konsep Keluarga Malaysia.

Jelas beliau, kualiti dan sistem pendidikan yang tersendiri serta berkualiti tinggi yang diterapkan MRSM, telah menyebabkan permintaan dalam kalangan pelajar sangat tinggi.

“Kita berterima kasih kepada masyarakat di luar sana yang memberikan pengiktirafan dan sentiasa memandang tinggi Sistem Pendidikan yang ada di MRSM,” katanya.

Menurutnya, MRSM hanya mampu menampung sejumlah 7,500 pelajar tingkatan satu dan 2,000 pelajar tingkatan empat bagi setiap sesi pengambilan tahunan.

Berbanding permohonan yang diterima tahun ini berjumlah 77,834 bagi tingkatan satu dan 24,495 bagi tingkatan empat untuk sesi kemasukan 2022.

Tambah Mahdzir, dasar MARA mensasarkan untuk menyediakan kuota 60 peratus kepada pelajar cemerlang dalam kalangan keluarga B40 bagi mengikuti pengajian di MRSM.

“Sistem Pendidikan MRSM adalah bertujuan membuka peluang pendidikan menengah bagi melahirkan pelajar bumiputera yang holistik, cemerlang dalam bidang akademik, sains, teknologi dan keusahawanan.

“Sistem Pendidikan MRSM juga sedikit berbeza dengan sistem pendidikan lain dari aspek kemampuan kognitif dan sahsiah pelajar. MRSM mengumpulkan pelajar cemerlang dan berpotensi tinggi selari dengan ciri-ciri Saintifik, Independen, Kreatif, Amanah dan Patriotik (SIKAP),” katanya.

Untuk rekod, bilangan MRSM di seluruh negara adalah 55 buah dan mampu menampung 37,198 pelajar.

Sebelum ini pelbagai pihak membantah keputusan MARA yang hanya membuka tawaran kepada pelajar sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah menengah kebangsaan (SMK) sahaja bagi kemasukan ke MRSM di seluruh negara tahun ini.

Bantahan itu turut disuarakan oleh Jawatankuasa Permuafakatan Yang Dipertua PIBG Sekolah Rendah Agama Integrasi Negeri Selangor yang menganggap syarat yang ditetapkan itu jelas-jelas menganaktirikan pelajar aliran agama untuk memasuki MRSM terutama sekolah Ulul Albab.

Jurucakap jawatankuasa tersebut, Taqiyuddin Amini Abdul Satar berkata, sepatutnya MRSM turut membuka peluang kepada para pelajar sekolah rendah agama bantuan kerajaan (SABK) dan sekolah rendah agama integrasi (SRAI) kerana mereka juga terdiri daripada golongan B40 dan M40.

“Tindakan mensyaratkan permohonan ke MRSM untuk murid SK dan SMK sahaja dilihat sebagai satu tindakan terkebelakang kerana ia hanya akan mengurangkan peratusan pelajar berkualiti melanjutkan pelajaran di MRSM terutama sekolah Ulul Albab,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan