24.7 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Ibu bapa terkilan MRSM anak tirikan pelajar sekolah agama

Mesti Baca

CYBERJAYA – Ibu bapa terkilan dengan keputusan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang hanya membuka peluang kepada pelajar sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah menengah kebangsaan (SMK) untuk memasuki sekolah berasrama penuh itu tahun ini.

Menurut Jawatankuasa Permuafakatan Yang Dipertua PIBG Sekolah Rendah Agama Integrasi Negeri Selangor, syarat yang ditetapkan itu jelas-jelas menganaktirikan pelajar aliran agama untuk memasuki MRSM terutama sekolah Ulul Albab.

Jurucakap jawatankuasa tersebut, Taqiyuddin Amini Abdul Satar berkata, sepatutnya MRSM turut membuka peluang kepada para pelajar sekolah rendah agama bantuan kerajaan (SABK) dan sekolah rendah agama integrasi (SRAI) kerana mereka juga terdiri daripada golongan B40 dan M40.

“Tindakan mensyaratkan permohonan ke MRSM untuk murid SK dan SMK sahaja dilihat sebagai satu tindakan terkebelakang kerana ia hanya akan mengurangkan peratusan pelajar berkualiti melanjutkan pelajaran di MRSM terutama sekolah Ulul Albab.

“Sekiranya pihak MARA mahu memberi keutamaan kepada pelajar luar bandar atau miskin bandar bagi melanjutkan pelajaran di MRSM, ia boleh dilaksanakan melalui proses saringan peperiksaan dan temuduga seperti sebelumnya mengikut keutamaan atau kuota yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Advertisements

Jawatankuasa itu berkata, syarat yang dikemukakan itu juga dilihat sebagai tindakan bertentangan dengan misi dan visi MRSM untuk membuka peluang pendidikan menengah bagi melahirkan pelajar bumiputera yang holistik, cemerlang dalam bidang akademik, sains dan teknologi dan keusahawanan.

“Institusi pendidikan global seperti Harvard, Oxford, Sorborne, Princeton menekankan pembinaan bakat pelajar daripada pelbagai latar belakang dan menghargai kepelbagaian,” kata Taqiyuddin Amini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Yang Dipertua PIBG SRAI Seksyen 19, Shah Alam berharap Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Pengerusi MARA dapat memperhalusi semula syarat tersebut.

“Kami amat mempercayai kebijaksanaan Datuk Seri Menteri dan Datuk Pengerusi MARA agar dapat mengkaji, mempertimbangkan, memperhalusi justeru menarik semula syarat kemasukan dan membenarkan semula murid-murid sekolah bukan kebangsaan dan sekolah menengah bukan kebangsaan untuk memohon MRSM,” katanya.

Baru-baru ini, MARA telah mengeluarkan iklan pengambilan pelajar Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 memasuki MRSM Ulul Albab dan MRSM Premier di seluruh negara tetapi disyaratkan hanya untuk pelajar SK dan SMK sahaja. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Piala Asia B23: Harimau Muda balik tangan kosong dari Qatar

DUA minggu berkampung di Doha, Qatar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan sehingga korbankan hari raya Aidilfitri bersama keluarga ...

Lagi Artikel Berkaitan