24.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Muhyiddin individu sesuai terajui MPN, langkah tepat

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) merupakan langkah tepat memandangkan pengalaman beliau semasa menerajui kerajaan selama 17 bulan mendepani pandemik COVID-19.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, sektor ekonomi adalah antara yang perlu dipulihkan ketika ini, dan mantan Perdana Menteri itu diyakini mampu untuk melaksanakannya bersesuaian dengan pengalamannya sebelum ini dalam menangani krisis.

“Ketika penguatkuasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik COVID-19, telah banyak menjejaskan ekonomi terutamanya terhadap golongan Bumiputera.

“Dengan itu, saya yakin Muhyiddin akan melihat secara menyeluruh masalah-masalah yang timbul terutamanya bagi memulihkan kembali negara demi kelangsungan hidup semua,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan beberapa perkara yang perlu diberi perhatian antaranya pembukaan sektor ekonomi sepenuhnya tetapi dengan bersyarat.

“Sepertimana beberapa kelonggaran yang telah pun diumumkan kerajaan sebelum ini, saya harap pembukaan sektor ekonomi secara 100 peratus dengan syarat pekerja telah divaksin dua dos dapat dibenarkan bekerja selama 8 jam.

“Menghadkan 60 peratus atau 80 peratus pekerja memberi kesan kepada peniaga-peniaga untuk memberikan perkhidmatan yang baik kepada pelanggan.

“Ia juga mendatangkan kesukaran kepada majikan untuk mengira gaji pekerja, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sebagainya,” katanya.

Advertisements

Beliau berkata, pejabat-pejabat kerajaan juga hendaklah dibenarkan beroperasi penuh dengan syarat pekerja dan pengunjung telah lengkap dua dos vaksin.

“Operasi melalui temujanji yang diamalkan sekarang amat menyusahkan orang awam.

“Sebagai contoh, temujanji untuk mendaftarkan kelahiran anak tarikh temu janji yang kosong hanya selepas dua bulan atau lebih. Anak lahir bulan Julai tapi tarikh temu janji untuk daftar kelahiran diberikan pada bulan Oktober atau November. Jadi perkara ini perlu diperhalusi oleh MPN,” katanya.

Pandangan sama turut dikongsikan V. Ganaprakash dari Pertubuhan Insiprasi Barathiyar (INBHA) yang menyifatkan pelantikan itu menjadi gabungan yang hebat antara Muhyiddin dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Fokus pemulihan negara harus diberi perhatian utama dan Muhyiddin akan dapat melakukannya, seterusnya menyambung semula tugasannya yang sebelum ini dalam menangani krisis pandemik COVID-19.

“Ismail Sabri pula memberi fokus pada urusan pentadbiran negara. Jika lantik orang baharu mungkin akan ada masalah nanti, tercari-cari hala tuju.

“Saya yakin Muhyiddin adalah individu yang sesuai untuk menangani dan memulihkan negara dengan kerjasama barisan ahli MPN yang lain,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan