25.5 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 16, 2024

Suami boleh teman ibu hamil bersalin mulai 4 Oktober ini

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Suatu kelegaan bagi para suami apabila Kementerian Kesihatan (KKM) membenarkan suami atau ahli keluarga terdekat untuk menemani ibu hamil semasa bersalin berkuatkuasa 4 Oktober ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kebenaran itu diberikan berikutan pandemik negara yang mula menunjukkan tanda positif dan peningkatan kadar vaksinasi.

Menurut beliau, bagaimanapun, mereka perlu mematuhi kriteria yang ditetapkan iaitu telah menerima dos vaksin lengkap COVID-19.

“Ia melibatkan tempoh 14 hari selepas dos kedua bagi vaksin jenis dua dos seperti Pfizer, Sinovac dan Astra Zeneca atau 28 hari selepas menerima vaksin jenis satu dos seperti CanSino dan Johnson & Johnson.

“Suami atau ahli keluarga terdekat juga perlu menjalani ujian pengesanan COVID -19 (RT-PCR atau RTK-Ag) di mana-mana fasiliti kesihatan atau makmal swasta dalam tempoh 72 jam dan keputusan ujian hendaklah dibawa bersama sebelum menemani ibu hamil di Wad Bersalin.

“Dalam masa sama, suami atau ahli keluarga terdekat juga perlu mengehadkan pergerakan mereka selepas menjalani ujian RT-PCR atau RTK-Ag,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, selain itu, suami atau ahli keluarga terdekat boleh membeli Kit Ujian Kendiri COVID -19 yang telah mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA).

“Mereka perlu membawanya ke hospital bagi menjalani ujian pengesanan kendiri COVID -19 di tempat saringan disediakan di hospital dengan dipantau dan disahkan oleh anggota kesihatan yang bertugas,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham turut mengingatkan kepada suami dan ahli keluarga terdekat yang menemani ibu hamil untuk sentiasa mengamalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang menemani ibu hamil.

“Ini kerana mereka merupakan golongan berisiko tinggi yang perlu sentiasa dilindungi.

“Justeru, KKM berharap masyarakat terutama ibu hamil serta suami dan keluarga dapat mengambil manfaat daripada kemudahan yang telah diberikan ini,” katanya.

Ujar beliau, surat arahan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) bertarikh 28 September mengenai pelaksanaan inisiatif ini telah diedarkan kepada semua Pengarah Kesihatan Negeri untuk pelaksanaan mulai 4 Oktober.

“Ini bagi memberi ruang kepada pihak hospital untuk menjalankan persediaan yang diperlukan,” katanya.

Terdahulu, Edisi 9 melaporkan, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi ciapannya di Twitter memaklumkan, bakal bapa yang lengkap divaksinasi serta negatif ujian COVID -19 akan dibenarkan untuk menemani isteri mereka di bilik bersalin. – Edisi 9

Terkini

Malaysia, UNDP perbaharui kerjasama sehingga 2025

PARLIMEN Malaysia dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) bersetuju memperbaharui kerjasama merangkumi sistem Jawatankuasa Pilihan Khas di Dewan...

Lagi Artikel Berkaitan