CYBERJAYA – Kediaman rasmi Perdana Menteri, Seri Perdana perlu dibaik pulih kerana mengalami kerosakan fizikal yang teruk selain untuk menjaga imej negara.
Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Seri Perdana yang sudah berusia lebih 20 tahun adalah lambang institusi Ketua Negara dan jika tidak dibaik pulih segera akan menambahkan lagi kerosakan bangunan warisan tersebut.
“Kerosakan ini melibatkan kebocoran, sistem pencahayaan yang telah lama serta keadaan fizikal lantai dan bumbung yang telah rosak atau usang.
“Kebocoran bumbung Seri Perdana dan sistem perpaipan telah menyebabkan kerosakan perabot built-in, lantai kayu, panel dinding dan siling bangunan.
“Selain itu, saya juga dimaklumkan bahawa pendawaian elektrik, pencahayaan dan peralatan mekanikal seperti penghawa dingin juga perlu dibaik pulih kerana telah terlalu usang.
“Berdasarkan laporan yang saya terima, pihak JPM (Jabatan Perdana Menteri) juga mengesyorkan agar perolehan perabot dibuat memandangkan kebanyakan aset perabot di Seri Perdana yang didakwa milik peribadi Perdana Menteri Keenam telah dipindah keluar,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Sebelum ini, Muhyiddin dipersalahkan kerana meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta untuk menaik taraf Seri Perdana pada Mac 2020, iaitu sejurus beliau mengambil alih tampuk kerajaan Persekutuan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri dalam jawapan bertulis di Parlimen Isnin lalu berkata, kerja-kerja mengubah suai dan menaik taraf Kompleks Seri Perdana dilakukan setelah mengambil kira faktor keselamatan Perdana Menteri.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, berdasarkan pandangan pakar, Seri Perdana juga berisiko mengalami kebakaran jika tidak dibaik pulih segera ekoran sistem pendawaian yang sudah usang, melebih 20 tahun.
Beliau berkata, sebahagian besar daripada kos membaik pulih Seri Perdana adalah melibatkan kerja-kerja binaan, pendawaian elektrik dan mekanikal.
Katanya, dengan saiz Seri Perdana yang berkeluasan lebih 56,000 kaki persegi juga menyebabkan kos baik pulih bangunan milik kerajaan itu agak tinggi.
“Keputusan membaik pulih Seri Perdana dibuat untuk memulihara bangunan milik kerajaan yang menjadi lambang institusi Ketua Kerajaan dan imej negara ini kepada keadaannya yang asal.
“Jika ia tidak dibaik pulih dengan segera, bangunan warisan kerajaan ini akan mengalami kerosakan yang lebih teruk pada masa hadapan dan kos membaik pulih pastinya akan meningkat,” katanya.
Muhyiddin turut memaklumkan bahawa beliau tidak pernah menduduki Seri Perdana sepanjang berkhidmat sebagai Perdana Menteri. – Edisi 9