34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Tumpuan perkukuh ekonomi yang beri sumbangan besar KDNK

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memberi tumpuan memperkukuhkan sektor ekonomi yang memberi sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menyediakan ekosistem yang kondusif bagi merancakkan pemulihan Malaysia.

Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini akan menjadikan negara sebagai destinasi mesra perniagaan dan pelaburan, yang mempunyai teknologi tinggi dan mempunyai nilai tambah atau value-added yang lebih besar.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, tumpuan juga perlu diberikan dalam penyediaan peluang pekerjaan meliputi pelbagai sektor moden seperti perkilangan dan perkhidmatan bagi memastikan pembangunan bakat dan modal insan bagi memenuhi keperluan pembangunan sosioekonomi.

“Di samping itu, perlu meneroka potensi pekerjaan baharu terutama melibatkan ekonomi gig dan yang berteraskan Era Teknologi Digital,”katanya pada perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat di sini.

Dalam masa sama, katanya, kerajaan juga perlu meneruskan tindakan proaktif di bawah Majlis Pekerjaan Negara untuk mencapai sasaran mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan pada tahun ini.

“Setakat ini 376,000 pencari kerja telah berjaya mendapat pekerjaan di bawah inisiatif kerajaan. Pada permulaan pelaksanaan RMK-12 ini, usaha mengenal pasti secara agresif golongan yang mengganggur akibat pandemik COVID-19 perlu diberikan keutamaan.

“Penting dalam usaha kita untuk merangka strategi dan tindakan proaktif menyediakan bentuk-bentuk bantuan mengikut realiti yang didepani setiap rakyat pada hari ini, agar segala bantuan dapat disalurkan secara bersasar dan memenuhi kehendak golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Kesimpulannya, katanya, RMK-12 adalah rancangan jangka sederhana untuk Malaysia mencapai matlamat muncul kembali sebagai gergasi ekonomi Asia yang tidak mengabaikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

“Untuk mencapai objektif itu, peranan MPN menjayakan pelan pemulihan negara menjadi amat signifikan sebagai pembuka jalan dan pemangkin kepada pembaharuan dan perubahan yang perlu dilaksanakan dalam proses reformasi dan transformasi yang dirancang,” katanya.

Jelas beliau, satu cara untuk RMK-12 mencapai sasarannya menjadikan Malaysia sebuah negara yang Makmur, Inklusif dan Mampan,
adalah dengan semua pihak mengetepikan perbezaan yang ada dan bersatu di bawah payung Keluarga Malaysia, berusaha sedaya upaya meningkatkan produktiviti dengan kemampuan dan kebolehan masing-masing.

“Sekarang adalah masanya, ‘Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’. Bersatulah atas nama anak Malaysia dengan semangat wira seumpama berperang melawan musuh durjana.

“Kita sudah hampir menang melawan musuh halimunan, COVID-19, sasaran kita kini adalah untuk mendokong usaha kerajaan memulihkan negara dan membawa Malaysia kembali ke puncak kegemilangan dan merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Saya berharap dalam masa lima tahun ini, kita berusaha melaksanakan RMK-12 dengan gigih, secara kolektif bagi merealisasikan impian Malaysia menjadi Negara Berpendapatan Tinggi,”katanya – Edisi 9

Terkini

Lebih 27,000 kandungan diturunkan sejak awal tahun – MCMC

SEBANYAK 27,115 kandungan bersifat provokatif melampau dalam media sosial dan platform Over The Top (OTT) telah diturunkan dalam tempoh...

Lagi Artikel Berkaitan