25.4 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Sindiket pengedaran dadah antarabangsa tumpas, rampasan RM1 juta

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEREMBAN- Kegiatan sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang menyasarkan pasaran negara jiran Indonesia tumpas dengan penahanan lima suspek dan rampasan dadah keseluruhan dianggarkan bernilai RM1 juta. 

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, hasil maklumat dan intipan yang dilakukan, sepasukan anggota dari Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM telah menahan sebuah kereta Proton Saga yang dinaiki dua suspek berhadapan sebuah hotel di Puchong, Selangor pada 13 September lalu. 

“Dalam kejadian pada pukul 6 petang itu, kedua-dua suspek telah melanggar kenderaan pegawai JKDM sebelum melarikan diri dengan keluar dari kereta.

“Anggota JKDM terus mengejar kedua-dua suspek dan berjaya menahan salah seorang daripada mereka iaitu lelaki warga Indonesia berusia 31 tahun yang bersembunyi di sebuah kedai manakala seorang lagi suspek berjaya melarikan diri,” katanya dalam sidang akhbar di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM di Kampung Jijan, Nilai, di sini, lapor Utusan Online.

Abdul Latiff berkata, hasil pemeriksaan ke atas ruang penyimpanan belakang kenderaan Proton Saga itu menemui dua buah beg galas yang di dalamnya berisi bungkusan teh berwarna hijau.

“Siasatan lanjut mendapati bungkusan teh itu mengandungi ketulan mampat bahan kristal jernih disyaki dadah jenis Methamphetamine (Syabu) seberat 28 kilogram dengan anggaran nilai RM1 juta dipercayai untuk pasaran negara jiran Indonesia.

“Kenderaan yang digunakan oleh sindiket ini juga disyaki kenderaan curi hasil semakan dengan pihak Polis Diraja Malaysia,” katanya.

Katanya, modus operandi sindiket tersebut ialah menyembunyikan dadah dalam guni sebelum diisikan dalam beg galas dan mereka sentiasa menukar kenderaan untuk bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain dengan menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Rentetan daripada itu, ujar beliau, pihak JKDM berjaya menahan empat lagi suspek warga tempatan berusia 27 hingga 31 tahun pada 20 September lalu termasuk salah seorang yang melarikan diri dalam serbuan pertama.

“Dua suspek telah ditahan di Gua Musang, Kelantan manakala seorang ditahan di Klang, Selangor manakala seorang lagi ditahan ketika memberi keterangan di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM di Kampung Jijan, Nilai di sini.

“Hasil ujian air kencing ke atas kesemua suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya.

Beliau berkata, suspek pertama lelaki warga Indonesia telah ditahan reman selama 14 hari bermula 14 September hingga 27 September depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Manakala empat lagi suspek yang ditahan telah mendapatkan permohonan reman untuk membantu siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sejak Januari 2021 hingga hari ini Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM telah berjaya membuat rampasan dadah jenis Amphetamine dengan berat 16,000 kilogram (16 tan) dengan jumlah keseluruhan RM5.2 bilion, Methamphetamine 623.862 kilogram  (RM22.5 juta), Ketamin 2.589 kilogram (RM124,160) dan Heroin 3.846 kilogram (RM337,569).

“Bagi rekod penahanan pula, seramai 14 orang yang disyaki telah ditahan dan tujuh orang kena tuduh telah dihadapkan ke mahkamah untuk perbicaraan,” katanya. – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan