32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

PKR NS nafi bergolak, hanya masalah dalaman parti

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – PKR Negeri Sembilan menafikan parti itu bergolak, sebaliknya desakan segelintir pemimpinnya yang mahu Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun ditukar hanya masalah dalaman parti.

Memetik laporan Berita Harian, Timbalan Pengerusi MPN negeri, Datuk M Ravi berkata, sokongan ahli parti terhadap kepemimpinan masih utuh walaupun sebelum ini ada cadangan untuk melantik individu lain menduduki jawatan Pengerusi MPN susulan kesibukan tugas Aminuddin yang memberikan fokus kepada pentadbiran negeri.

“Memang ada cadangan sebelum ini melantik individu lain sebagai Pengerusi MPN negeri bagi memberi ruang kepada Menteri Besar fokus kepada ekonomi dan pentadbiran, tetapi cadangan itu sudah lama dan ia tergendala.

“Cadangan itu pun tidak pernah dibawa ke peringkat pemimpin tertinggi parti. Ketika ini sokongan semua pihak dalam parti terhadap Aminuddin sebagai Menteri Besar masih utuh dan tidak berbelah bahagi,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, hari ini.

Beliau mengulas mengenai tindakan sekumpulan pemimpin PKR negeri itu semalam yang menyatakan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin dengan mendakwa Menteri Besar itu gagal menyusun strategi untuk mengukuhkan PH dan kekal menjadi kerajaan negeri.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan secara bersama kumpulan itu semalam, Aminuddin didakwa tidak berusaha untuk merancang bagi mengukuhkan penguasaan politik PH menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Mereka mendakwa Pengerusi MPN itu tidak melakukan penyusunan dan koordinasi yang berkesan untuk menarik sokongan pengundi terutamanya di kawasan DUN yang perlu diberikan tumpuan.

Sementara itu, Aminuddin ketika ditemui petugas media enggan mengulas lanjut perkara berkenaan dan meminta persoalan itu dikemukakan kepada kumpulan terbabit.

“Saya tiada masalah, beliau (Ravi) sudah jelaskan, tanya kepada mereka yang membuat kenyataan itu,” katanya ringkas.

Susulan daripada desakan itu, Ravi yang juga Timbalan Speaker DUN Negeri Sembilan mengarahkan Setiausaha PKR negeri mengambil tindakan sewajarnya termasuk disiplin terhadap kumpulan berkenaan.

Timbalan Ketua Cabang PKR Seremban yang juga ahli EXCO negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek pula menyifatkan desakan kumpulan terbabit adalah masalah dalaman parti dan tidak perlu diperbesarkan.

“Ini masalah dalaman parti seperti ‘kocakan air dalam cawan’. Ia boleh diselesaikan dalam konteks keluarga dalam parti,” katanya yang mengesahkan tidak hadir dalam perjumpaan kumpulan terbabit walaupun namanya tercatat pada kenyataan itu.

Ketua Cabang PKR Rasah, yang juga EXCO negeri, Datuk Ismail Ahmad, bagaimanapun enggan mengulas walaupun namanya dikaitkan dengan kumpulan membuat desakan itu.

Manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah, Datuk Yek Diew Ching yang turut dikaitkan dengan kumpulan itu menegaskan setiap masalah parti perlu dirujuk kepada parti dan bukannya disebarkan menerusi laman sosial.

-EDISI9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan