26.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

Pak menteri, lantiklah pegawai media yang ‘elok’ sikit

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

KECOH kisah pak menteri mempunyai ramai pegawai dan penasihat di sekelilingnya.

Bagi penulis, itu biasa sahaja apatah lagi jika menteri berkaitan bukan ada kepakaran dalam portfolio yang dipegang, kena ada para penasihat yang memberi input kepada menteri.

Bukannya menteri tak harap kepada para pegawai kementerian yang ada tetapi mereka juga mempunyai tugasan masing-masing. Kalau mereka asyik kena ‘kacau’ dengan pak menteri kerja mereka pula tak jalan.

Lagi pun tugas menteri kena jawab semua isu berkaitan kementerian, bukan sahaja kepada media tetapi juga kepada netizen dan orang awam. Jadi kenalah betul-betul ‘solid’ maklumat dan bukan asal jawab sahaja.

Sebab itulah peranan para pegawai berkenaan untuk membuat penyelidikan, mengumpul data dan maklumat dan diolah sebaik mungkin untuk disampaikan oleh bos mereka.

Pak-pak menteri yang ada ‘back-up’ ramai macam ni biasanya cekap dan lancar menjawab apa sahaja soalan yang diajukan media atau orang awam sebab sudah dipersiapkan.

Kalau tak cukup maklumat, itulah sebabnya ada pak menteri yang angkat kaki segera selepas selesai majlis, atau diam seribu bahasa bila ‘diserang’ netizen dalam media sosial.

Mereka akan serah kepada pegawai yang ada untuk menjawab. Kena pula pegawai tak cukup pengalaman atau tak tahu nak ‘back-up’ bos, maka berlarutanlah isu-isu yang dibangkit.

Memilih seorang pegawai untuk menjaga media termasuk media sosial bukannya mudah. Jenis tak ada atau kurang pengalaman alamat pak menteri tak dipeduli medialah dan bila dipersoal dalam media sosial hanya mampu membungkam.

Ada segelintir pak menteri melantik pegawai media asal ada, mungkin sebab individu berkenaan orang parti, orang ‘kawasan’ atau mungkin juga saudara-mara atau kenalan tak tahulah.

Jadi bila lantik pegawai media yang tak cukup pengalaman atau tidak mempunyai latar belakang kewartawanan, biasanya kenyataan media pak-pak menteri tak cukup ranum untuk menghasilkan berita yang menarik.

Ada juga yang menulis kenyataan media berkajang-kajang panjangnya tetapi isinya kosong.

Peranan pegawai media pula bukan sekadar menulis kenyataan media, tetapi membuat perancangan untuk memasarkan bos masing-masing agar sentiasa muncul dalam media.

Lebih penting adalah membina hubungan antara bos dengan pihak media. Jika pegawai media selalu buat hal dengan media, maka susahlah mereka nak bekerjasama dan memberi laporan-laporan baik kepada pak menteri berkenaan.

Advertisements

Media bukan nak kena bodek selalu, atau disuap dengan pelbagai pemberian. Mereka tak perlu semua itu. Tapi media mahu mereka mudah buat kerja mereka.

Media kena kejar berita, terlepas satu berita selain kena marah bos, pembaca mereka juga akan terlepas satu-satu maklumat dan mereka menjadi media yang ketinggalan. Sebab itulah media nak kena cepat buat kerja.

Kerja media bukan pergi tugasan hari ini, esok baru buat macam kerja kerani. Kerja orang media bukannya boleh tangguh-tangguh lebih-lebih sekarang ini terpaksa bersaing dengan media sosial.

Kita masih terkial-kial mencari intro, di media sosial dah tersebar berita mengenai tugasan ini. Kadang majlis belum selesai, orang ramai di luar sana tahu apa yang berlaku termasuk hal di belakang tabir.

Belum lagi sekarang ini begitu banyak media yang membuat laporan secara masa nyata melalui pelbagai platform digital masing-masing. Sebab itulah media memerlukan kerjasama baik daripada pegawai media.

Menyalurkan maklumat yang media perlukan dengan segera, bukannya terkial-kial bertanya sana-sini.

Yelah, dengan pengalaman lebih 20 tahun dalam dunia kewartawanan, penulis dah jumpa pelbagai kerenah pegawai media ni.

Ada jenis kedekut nak bagi salinan ucapan menteri, ada juga yang buat kenyataan media asal ada, ada yang ‘over’ ramah, ada yang jenis buat hal sendiri dan macam-macam lagi.

Tapi rata-rata mereka semua ‘okey’ terutama para pegawai media yang ada latar belakang kewartawanan, apatah lagi kalau mereka senior, lain cara pendekatan mereka.

Bila dah masuk era digital dan menuju Revolusi Industri 4.0 ni, isu-isu seperti ini ingatkan sudah tak wujud lagi, rupanya masih ada. Mungkin juga sebab pak menteri baru dilantik dan belum jumpa pegawai media yang betul-betul.

Sebab itulah agaknya kenyataan media yang penulis terima pun macam ala-ala tulisan dalam Facebook, siap dengan tanda pagar berjela-jela, tak ada ‘kepala surat’ atau cop kementerian.

Jadi kepada pak-pak menteri berkenaan, harap fahamlah kalau media tak tertarik untuk menulis laporan mengenai anda kerana kenyataan media yang kami terima meragukan dari segi sumbernya, hambar dan tidak bernilai berita.

Lagipun sekarang macam-macam boleh menyamar dan sebar maklumat palsu, dan pak-pak menteri tak terlepas daripada perkara sedemikian. Jadi, kami kenalah hati-hati, tak gitu?

Lastik! – Cukup jadi wartawan cabuk saja…

Advertisements

Terkini

Malaysia melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Thomas

MALAYSIA melangkah ke separuh akhir Piala Thomas selepas membenam juara edisi 2014, Jepun 3-1 di peringkat suku akhir Pusat...

Lagi Artikel Berkaitan