CYBERJAYA – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membantah usaha pemaju untuk menambak kawasan pantai Teluk Ketapang, Kuala Nerus, Terengganu bagi tujuan pembangunan bercampur.
Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) berkata, pihaknya bimbang pembangunan di kawasan terbuka di pesisir pantai Laut Cina Selatan itu boleh mengganggu hidrodinamik ombak.
Ini ditambah dengan kejadian monsun Timur Laut yang menyebabkan hakisan pantai sehingga merosakkan landskap bumi Terengganu setiap tahun.
NGO itu berkata, sebenarnya di mana-mana kawasan pesisiran pantai di Semenanjung Malaysia, khususnya di pantai lautan terbuka di Pantai Timur tidak sesuai untuk dilakukan penambakan laut dan pantai.
Ini kerana, jelasnya, semua perairan di negara ini sangat kaya dan keadaan pantai begitu sensitif dengan perubahan guna tanah.
“Yang lagi penting terdapat banyak lagi komuniti khususnya komuniti nelayan yang memerlukan kawasan berpantai untuk mencari hasil lautan dan juga menyokong sistem pemakanan laut kita.
“Nelayan persisiran pantai akan terus mengadu apabila kawasan pencarian ikan dan kawasan sekitarnya terjejas akibat daripada penambakan pantai.
“Selain itu pelbagai pencemaran sampingan akan berlaku,” katanya menerusi Facebook persatuan itu hari ini.
Sebelum ini satu akaun Facebook diberi nama Greater Terengganu Development yang dibuka sejak 17 September lalu, memaparkan satu projek dinamakan Sunrise City yang akan dimajukan di Kuala Nerus.
Menurut laman sosial tersebut, projek Sunrise City dicadang bertujuan meningkatkan ekonomi dan mengurangkan persekitaran yang sesak di Kuala Terengganu.
Ini termasuk menyediakan kemudahan kediaman dan komuniti, kemudahan komersial, perhotelan, pelancongan dan perindustrian berhampiran dengan pusat bandar.
“Untuk memastikan masyarakat Terengganu tempatan tidak terpinggir dari pembangunan ini, akan ada peruntukan untuk dermaga memancing di kawasan kemudahan laut, kawasan kebudayaan dan makanan yang bakal diwujudkan dengan menggabungkan unsur-unsur warisan tempatan dalam keseluruhan konsep reka bentuk,” katanya.
KUASA berkata, alasan kononnya demi ekonomi rakyat sering dilacur dan dijual untuk menghalalkan projek-projek yang memusnahkan alam seperti ini.
Padanya, katanya, akhirnya penduduk tempatan khususnya komuniti akar umbi juga yang rugi akibat kehilangan sumber warisan dan tradisional mereka.
“Kita bukan anti pembangunan, sebaliknya pembangunan yang dilakukan di negara ini perlulah menitikberatkan soal masa depan komuniti dan alam sekitar.
“Ia juga perlu selari dengan rancangan fizikal pembangunan negara yang mana menekankan pembangunan tertentu hanya sesuai dibuat di zon atau kawasan yang tertentu, bukan di zon atau kawasan yang sensitif.
“Soalan kita, sudah tidak cukup tanahkah di negeri Terengganu sehingga terpaksa menambak kawasan laut?,” katanya.
Berdasarkan maklumat yang dikongsi, kawasan terlibat adalah sepanjang pantai Teluk Ketapang dari muara Sungai Terengganu sehingga ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud.
Pantai Teluk Ketapang sering menjadi tumpuan orang ramai setiap hujung minggu kerana suasananya seolah-olah berada di luar negara, sehingga diberi gelaran sebagai ‘Miami Beach’. – Edisi 9