25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Melaka beralih Fasa 2, Negeri Sembilan ke Fasa 3 mulai Sabtu ini

Mesti Baca

CYBERJAYA – Berita gembira bagi rakyat Melaka dan Negeri Sembilan apabila masing-masing beralih ke Fasa 2 dan 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengumumkan perkara itu berkata, peralihan Fasa PPN itu berkuat kuasa Sabtu ini.

Sidang Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 hari ini juga memutuskan bersetuju untuk membuka sektor pelancongan di beberapa destinasi di bawah program gelembung perjalanan berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan.

Perdana Menteri berkata, sebagai permulaan, Pulau Langkawi dipilih sebagai projek rintis untuk dibuka kembali kepada pelancong tempatan bermula 16 September, manakala destinasi pelancongan yang lain akan dibenarkan beroperasi apabila kadar vaksinasi lokaliti mencapai 80 peratus.

“Mesyuarat juga sebulat suara bersetuju Sidang Khas ini dikenali sebagai Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik dan bakal membabitkan wakil daripada parti pembangkang.

“Pendekatan ini adalah salah satu usaha kolektif untuk membabitkan semua pemegang taruh bagi memastikan pemulihan negara berjalan seperti yang dirancang, seiring dengan semangat Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Perdana Menteri turut menyatakan hari ini buat pertama kalinya selepas beberapa bulan, kadar purata kebolehjangkitan (R-naught) seluruh negara berada di bawah 1.0.

“Saya yakin kita berada di landasan yang tepat ke arah pemulihan negara. Berdasarkan unjuran data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), purata kadar vaksinasi di setiap negeri dijangka mencapai 80 peratus bagi populasi dewasa menjelang penghujung September 2021.

“Saya percaya kadar vaksinasi 100 peratus akan dicapai akhir Oktober 2021, sekali gus memberi perlindungan kepada Keluarga Malaysia,” katanya.

Menurutnya, rakyat dan seluruh Keluarga Malaysia juga perlu bersedia untuk hidup bersama Covid-19 sebagai endemik selepas Oktober apabila suntikan vaksin dijangka selesai sepenuhnya.

Justeru katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta untuk membentangkan strategi baharu pandemik dan endemik yang bersesuaian selain daripada pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) semata-mata.

“Saya menyambut baik saranan mengenai usaha untuk melakukan perubahan kepada tingkah laku (behavioural change) seperti yang diumumkan KKM pada 1 September 2021.

“Keluarga Malaysia perlu sedar, akhirnya kita terpaksa hidup bersama Covid-19 seperti yang berlaku di seluruh dunia,” katanya. – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan