26.7 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Kit ujian kendiri COVID-19 ditetapkan RM19.90 mulai Ahad

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PUTRAJAYA – Harga runcit maksimum bagi kit ujian kendiri antigen COVID-19 di pasaran tempatan ditetapkan pada harga RM19.90 seunit berkuatkuasa serta-merta Ahad ini.

Perkara itu diputuskan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerusi kenyataan akhbar bersama hari ini.

Terdahulu, perkara tersebut turut dikongsikan Khairy menerusi hantaran di Twitter beliau di sini.

Menurutnya, harga borong maksimum bagi kit ujian sama pula ditetapkan pada harga RM16 satu set.

“Penentuan harga maksimum kit ujian itu dibuat mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Penetapan harga maksimum itu dibuat atas dasar keprihatinan kerajaan dalam usaha menangani kos sara hidup yang meningkat pada masa kini.

“Kerajaan juga sedar bahawa situasi COVID-19 di negara kita masih belum pulih dan permintaan terhadap kit ujian juga dijangka meningkat pada masa depan susulan kesedaran orang ramai mahu membuat ujian sendiri,” katanya.

Katanya, penentuan harga maksimum borong dan runcit kit ujian pantas itu dibuat bagi memastikan harga yang berpatutan dan keberadaan bekalan di pasaran bagi manfaat pengguna dan peniaga.

Jelasnya lagi, penentuan harga maksimun juga dibuat selepas melakukan pemantauan harga di semua premis dan farmasi di seluruh negara; maklum balas daripada agensi kerajaan dan hasil perbincangan dengan rantaian bekalan serta syarikat farmasi.

Pada masa sama, KPDNHEP juga akan mengambil tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan penetapan harga ini. 

Menurutnya, mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan denda.

“Bagi kesalahan menjual melebihi harga maksimum, individu yang didapati bersalah boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

“Bagi syarikat pula, mereka boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000,” katanya.- Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan