27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Gelembung pelancongan: Berikut SOP melancong ke Langkawi

Mesti Baca

KERAJAAN mula membuka kembali sektor pelancongan dengan menjadikan Pulau Langkawi sebagai destinasi perintis gelembung pelancongan domestik.

Susulan itu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memberikan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) bagi mereka yang mahu melancong ke Langkawi bermula 16 September ini.

Langkawi boleh dikunjungi pelancong domestik yang memenuhi kriteria SOP dari seluruh negara, termasuk dari negeri yang berada dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara.

Walau bagaimanapun, kebenaran ini tidak terpakai kepada mereka yang sedang berada di kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pelancong mempunyai pilihan untuk ke Langkawi melalui jalan udara dan darat.

Bagi pergerakan menggunakan jalan darat, pelancong perlu menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan, sekurang-kurangnya untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan dari destinasi permulaan ke jeti feri ke Langkawi.

Bagi pelancong yang memulakan perjalanan mereka ke Langkawi dari negeri Kedah dan Perlis, serta yang menggunakan jalan udara, mereka tidak diwajibkan untuk menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan.

Berikut adalah SOP yang perlu dipatuhi:

  1. Terhad kepada individu yang telah lengkap 2 dos vaksinasi
  2. Jenis percutian yang dibenarkan ialah secara harian (pergi dan pulang pada hari yang sama), bermalam, percutian dengan tempahan penginapan/tiket masuk yang telah dibuat terlebih dahulu, percutian pakej pelancongan melalui syarikat pelancongan yang berlesen dan berdaftar dengan MOTAC
  3. Bilangan penumpang setiap kenderaan semasa dalam perjalanan adalah tertakluk kepada kapasiti sebenar kenderaan tersebut
  4. Pengunjung yang perlu menyesuaikan dengan waktu perkhidmatan feri ke Langkawi dibenarkan bermalam di premis penginapan berdaftar di Kedah/Perlis
  5. Pengunjung perlu menunjukkan bukti dokumen pembelian produk pelancongan seperti tiket penerbangan, tiket feri, resit hotel atau resit pakej pelancongan semasa memohon kebenaran dengan PDRM dan ketika diminta oleh penguatkuasa agensi pematuhan SOP
  6. Aktiviti-Aktiviti Gelembung Pelancongan Langkawi yang dibenarkan termasuk:
  • Penginapan di hotel dan homestay termasuk fasiliti dalam premis hotel dan homestay seperti surau, kolam renang, gymnasium, lounge, dewan, Business Events (MICE), Acara Pelancongan dan Kebudayaan tertakluk kepada SOP Am Fasa 4 dikeluarkan oleh MKN serta SOP Kementerian/ Jabatan/ Agensi yang berkaitan
  • Aktiviti pantai, sukan air, snorkeling, selam skuba, pelancongan memancing, pusat edutainment, taman rekreasi, extreme / adventure / nature parks, farms, akuarium, zoo dan lain-lain kegiatan riadah, rekreasi serta sosial
  • Aktiviti Pelancongan Minat Khas (golfing, scuba diving, cycling, angling, yatching dan sebagainya)
  • Aktiviti Eko Geo-Kembara (bird watching, caving, mountain climbing, white water rafting, hiking, jungle trekking, camping dan sebagainya)
  • Premis hasil seni, budaya dan warisan seperti muzium, perpustakaan, galeri seni, pusat/kampung seni warisan budaya, pementasan persembahan budaya dan lain-lain
  • Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga
  • Lawatan Bersifat Akademik seperti Geopark Discovery Center, Balai Seni, Laman Padi.

Tiada had umur ditetapkan untuk kemasukan ke Pulau Langkawi dan individu berumur bawah 18 tahun perlu bergerak bersama penjaga yang telah lengkap divaksinasi.
Selain itu, perlindungan insuran serta saringan COVID-19 juga adalah tidak diwajibkan.

Bagi memastikan kelancaran program serta menjaga kepentingan Keluarga Malaysia secara keseluruhan, MOTAC akan membuat pemantauan berhubung pelaksanaan gelembung pelancongan di Langkawi ini dan akan mendapatkan maklum balas daripada masyarakat berkaitan program ini secara keseluruhan dalam tempoh masa dua minggu.

Maklum balas ini kelak akan dinilai dan dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk pertimbangan tindakan lanjut, seperti pembukaan lebih banyak destinasi pelancongan yang dikenal pasti selaras dengan aspirasi MOTAC.

MOTAC menggesa kepada orang ramai yang ingin melakukan perjalanan ke Pulau Langkawi supaya mematuhi SOP yang telah ditetapkan bagi memastikan agar Gelembung Pelancongan Langkawi ini kekal hijau dan seterusnya dapat merealisasikan perancangan lebih banyak gelembung pelancongan domestik di masa akan datang.

Maklumat terperinci mengenai SOP ini, sila layari laman sesawang www.motac.gov.my atau www.mkn.gov.my. – Edisi 9

Terkini

Warga Israel bersama 6 pucuk senjata api ditahan

SEORANG lelaki warga Israel ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama enam pucuk pistol di sebuah hotel di Jalan Ampang,...

Lagi Artikel Berkaitan