30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Cheng Hoe hanya panggil 5 pemain JDT ke latihan pusat

Mesti Baca

CYBERJAYA – Ketua Jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe membuat rombakan drastik apabila hanya memanggil lima pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) menyertai latihan pusat bermula 1 Oktober ini.

Mereka antara 12 pemain yang dikekalkan Cheng Hoe bagi mengharungi dua perlawanan antarabangsa Tier 1 bertemu Jordan dan Uzbekistan pada 6 dan 9 Oktober di Amman, Jordon.

Lima pemain JDT yang dikekalkan ialah Aidil Zafuan Radzak, Nazmi Faiz Mansor, Akhyar Rashid, Syafiq Ahmad dan pemain naturalisasi, Guilherme de Paula.

Ini bermakna 14 lagi pemain yang kebanyakannya daripada JDT tidak dipanggil ke kem latihan kali ini, sekali gus bakal memberikan corak berlainan kepada skuad Harimau Malaya.

Ketika perlawanan Kumpulan G, Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 tempoh hari, menyaksikan 13 pemain JDT berada dalam barisan skuad utama, sehingga mencetuskan rasa tidak senang para peminat bola sepak negara.

Dengan ketiadaan baki 14 pemain, akan diisi oleh enam muka baharu yang kali pertama dipanggil iaitu penjaga gol PJ City FC, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi; dua pemain Penang FC, Quentin Cheng dan Al Hafiz Harun; dua pemain Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar dan Mukhairi Ajmal Mahadi serta pemain Terengganu FC, Hakimi Abdullah.

Turut kembali tersenarai, enam pemain yang pernah dipanggil sebelum ini iaitu penjaga gol Melaka United FC, Khairul Fahmi Che Mat; kapten Kedah Darul Aman FC, Baddrol Bakhtiar; dua pemain Terengganu FC, Arif Fadzilah Abu Bakar dan Faisal Halim serta dua pemain Kuala Lumpur City FC, Akram Mahinan dan Kenny Pallraj.

Sementara itu, tiga pemain negara yang sedang beraksi dengan kelab-kelab di luar negara masing-masing Dion-Johan Cools (FC Midtjylland), Luqman Hakim Shamsuddin (KV Kortrijk) dan Dominic Tan (Police Tero FC) turut dipanggil.

Skuad Harimau Malaya akan melapor diri di Kuala Lumpur pada 1 Oktober sebelum berlepas ke Amman pada 2 Oktober bagi menghadapi dua perlawanan antarabangsa Tier 1 itu yang berlangsung dalam tempoh jendela perlawanan antarabangsa FIFA.

Perlawanan tersebut merupakan medan terbaik Cheng Hoe untuk membentuk pasukan terbaik menjelang Piala Suzuki AFF 2020 yang akan diadakan 5 Disember hingga 1 Januari 2022 serta Pusingan 3, Kelayakan Piala Asia 2023 pada tahun hadapan. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan