33.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

13 penanda aras gempa dipasang di Bentong

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Sebanyak 13 unit alat Penanda Aras Gempa bumi (PAG) telah dipasang di beberapa lokasi di Bentong sebagai persedian awal menangani ancaman gempa bumi.

Memetik laporan Berita Harian, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) memasang alat berkenaan bertujuan bagi memantau pergerakan blok batuan dan mengenal pasti segmen sesar yang aktif dari semasa ke semasa.

Katanya, di bawah Rancangan Struktur Negeri Pahang 2050, kerajaan negeri diberi cadangan terhadap risiko bencana geologi berkaitan gempa bumi dengan membangunkan sistem amaran awal gempa bumi di kawasan berisiko di daerah Bentong, Raub dan Cameron Highlands.

“Turut akan dibangunkan membabitkan sistem amaran awal tsunami di kawasan berkemungkinan terkesan bencana geologi tsunami di daerah Rompin, Kuantan dan Pekan.

“Sudah tiba masanya kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap sebarang kemungkinan membabitkan kejadian gempa bumi dan tsunami yang mungkin berlaku di negeri ini,” katanya semalam.

Beliau berkata demikian mengulas laporan akhbar tempatan sebelum ini menyatakan keindahan kawasan tanah tinggi di Janda Baik dan Bukit Tinggi di Bentong terdedah kepada ancaman tanah runtuh yang berpunca daripada gempa bumi susulan pengaktifan semula garis sesar Bukit Tinggi sejak 2007.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri serius dalam menangani ancaman kejadian gempa bumi di kawasan Bukit Tinggi dan Janda Baik di Bentong yang mencatatkan 30 titik gempa serta di daerah Jerantut yang mencatatkan satu titik gempa.

“Dengan adanya 13 unit alat PAG ia diharap dapat mengesan kejadian gempa bumi oleh pihak JMG akan memantau alat terbabit dari masa kesemasa,” katanya.

Pengaktifan semula garis sesar selepas ribuan tahun ia ‘mati’ menyaksikan 30 kejadian gempa bumi berlaku di kawasan itu bermula pada tahun 2007 dengan gegaran terkuat direkodkan adalah 4.2 pada skala Richter.

Sementara itu, Presiden Institut Geologi Malaysia, Abd Rasid Jaapar, berkata gempa bumi di Janda Baik dan Bukit Tinggi di Bentong boleh berulang memandangkan kawasan itu terletak dalam garis sesar Bukit Tinggi yang mengunjur dari Kuala Pilah-Kuala Lumpur dan Bukit Tinggi.

-EDISI9

Terkini

Dewan Rakyat lulus RUU Pindaan AUKU 2023

DEWAN Rakyat hari ini sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) (Pindaan) 2023 setelah dibacakan buat...

Lagi Artikel Berkaitan